Saturday, June 29, 2013

JEREBU: 100 bilion rupiah ($13 juta) memperuntukkan untuk padam kebakaran

JEREBU
HIDUP BERASAP: Kepulan asap masih dilihat terbit daripada kawasan terbakar di daerah Pelalawan, di wilayah Riau, Sumatera, kelmarin, sedang usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut diteruskan. Penanganan kebakaran kini diambil alih pemerintah pusat Indonesia kerana ia dianggap sebagai satu masalah negara. - Foto AP
JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah memperuntukkan sejumlah 100 bilion rupiah ($13 juta) untuk menghasilkan hujan tiruan, memperolehi bahan-bahan dan menyediakan pesawat bagi melaksanakan operasi 'pengeboman air' untuk memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Riau, kata seorang menteri kanan Indonesia.


"Pemerintah akan menyewa pesawat-pesawat dari Korea Selatan dan Russia yang boleh membawa 4,000 hingga 5,000 liter air untuk operasi pengeboman air itu," kata Menteri Penyelaras bidang Kesejahteraan Rakyat Indonesia, Encik Agung Laksono, selepas satu mesyuarat penyelarasan untuk membincangkan masalah itu di Jakarta, kelmarin.
Mesyuarat yang diadakan di Kementerian Perhutanan Indonesia itu dihadiri oleh Menteri Perhutanan, Encik Zulkifli Hasan, wakil tentera dan polis serta agensi-agensi pemerintah Indonesia yang berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dari pentadbiran wilayah Jambi, Sumatera Selatan dan Kalimantan Selatan.
Encik Laksono berkata, mesyuarat tersebut bukan hanya membincangkan isu kebakaran di wilayah Riau malah turut mengetengahkan lapan langkah jangkaan di lapan wilayah lain.
Menyentuh isu tawaran bantuan daripada Malaysia dan Singapura untuk memadamkan kebakaran, Encik Laksono berkata bahawa bantuan tersebut belum lagi diperlukan kerana pemerintah Indonesia masih mampu mengatasi masalah dengan sokongan semua pihak di dalam negara itu.
Beliau berkata, pihak pemerintah akan menggalak sektor swasta di dalam negera itu untuk menyertai usaha memadamkan kebakaran yang masih marak.
Sementara itu, Menteri Perhutanan Indonesia, Encik Zulkifli Hasan, berkata pemerintah Indonesia buat masa ini masih menumpukan usahanya kepada memadamkan kebakaran dan memerlukan sokongan semua pihak di negara itu.
"Kami perlukan sokongan daripada semua pihak dan semua syarikat harus melindungi hutan mereka daripada kebakaran," kata beliau.
Menurutnya, penanganan kebakaran kini diambil alih pemerintah pusat kerana ia dianggap sebagai satu masalah negara.
Encik Zulkifli berkata pihak BPPT telah berjaya menghasilkan hujan di Riau, manakala operasi pengeboman air telah dijalankan dengan pelibatan enam helikopter.
Dalam satu perkembangan berkaitan, Polis Riau semalam berkata mereka telah menahan empat lagi suspek kerana terbabit dalam kegiatan membakar sebuah tanah hutan dan semak di wilayah itu secara tidak sah,.
"Bilangan suspek yang ditahan sekarang ialah 18 orang selepas empat penahanan terbaru itu pada Khamis (kelmarin)," kata seorang jurucakap polis Riau, Timbalan Pesuruhjaya Kanan (DCP) Hermansyah, sebagaimana ditukil oleh Antara News, semalam.
Daripada 18 suspek itu, DCP Kanan Hermansyah berkata, dua daripada mereka ditahan kerana membakar ratusan hektar tanah di daerah Bengkalis.
Di daerah Rokan Hilir pula, 11 suspek telah ditahan kerana peranan mereka dalam empat kes berlainan.
Di daerah Pelalawan, menurut DCP Kanan Hermansyah, dua orang ditahan kerana terbabit dalam satu kes dan di daerah Siak, seorang lagi ditahan keraba terbabit dalam satu lagi kes lain.
"Dua tangkapan terbaru berlaku di bandar Dumai, di mana dua orang yang ditahan itu terbabit dalam dua kes," kata beliau.
"Bilangan suspek yang ditahan sekarang ialah 18 orang selepas empat penahanan terbaru itu pada Khamis (kelmarin)... Dua tangkapan terbaru berlaku di bandar Dumai, di mana dua orang yang ditahan itu terbabit dalam dua kes."
- Jurucakap polis Riau, Timbalan Pesuruhjaya Kanan Hermansyah, mengenai penangkapan yang telah dibuat berkaitan pembakaran hutan dan semak sejauh ini.