Wednesday, June 26, 2013

Keganasan berlaku di saat masyarakat Syiah rai ulang tahun kelahiran pemimpin abad ke-9

syiah
BAGHDAD: Siri pengeboman malam kelmarin dekat beberapa pasar di serata Baghdad dan beberapa letupan ke utara ibu kota Iraq itu telah membunuh sekurang-kurangnya 42 orang dan mencederakan berpuluh yang lain.
Siri pengeboman yang menyebabkan pertumpahan darah itu merupakan yang terbaru menggegarkan Iraq. Siri serangan serupa sejauh ini membunuh lebih 2,000 orang sejak awal April.
Puak militan yang mengambil kesempatan daripada rasa tidak puas hati golongan Sunni dengan pemerintah yang dipimpin golongan Syiah kelihatan semakin kuat di kawasan tengah dan utara Iraq.
Keganasan berlaku sedang berpuluh ribu anggota masyarakat Syiah membanjiri bandar Karbala, 80 kilometer ke selatan Baghdad bagi menyambut festival tahunan Shabaniyah, yang meraikan ulang tahun kelahiran pemimpin Syiah abad kesembilan yang dikenali sebagai Imam Ghaib.
Kawalan keselamatan ketat dilaksanakan bagi menghalang pemberontak menyerang jemaah Syiah.


Salah satu serangan paling dahsyat berlaku pada waktu malam apabila dua bom yang ditinggalkan dekat sebuah pasar meletup kurang seminit antara satu sama lain di kejiranan Husseiniyah, yang mempunyai ramai penduduk Syiah.
Dalam kejadian itu, seramai 10 orang terkorban dan 30 orang yang lain cedera.
Menurut polis, bom kedua meletup sedang sekumpulan penduduk berkumpul untuk membantu mangsa letupan pertama.
Awal sebelum itu, polis berkata dua bom kereta meletup selang beberapa minit antara satu sama lain di kejiranan Jihad, barat Baghdad, dan membunuh sembilan orang serta mencederakan 21 orang yang lain.
Kawasan kejiranan al-Shurta al-Rabeaa pula melihat empat orang terbunuh dan sembilan cedera apabila sebuah bom kereta meletup dekat deretan kedai di kawasan itu.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Encik Saad Maan Ibrahim, berkata pemberontak Al- Qaeda sedang mengelak daripada bertempur secara langsung dengan pasukan keselamatan dan sebaliknya menyasarkan orang awam.
"Dengan menyerang sasaran mudah seperti pasar-pasar, Al-Qaeda mahu menghantar pesanan yang mereka masih aktif dan masih mampu menyerang di mana sahaja di Iraq," katanya.
Siri pengeboman lain meragut nyawa 19 orang dan mencederakan 56 mangsa lain.
Dua pegawai perubatan telah mengesahkan angka kematian.
Tiada pihak yang segera mengaku bertanggungjawab tetapi pasukan keselamatan dan penduduk Syiah sering menjadi sasaran rangkaian pengganasan Al-Qaeda cawangan Iraq. - AP.