Sunday, June 2, 2013

PEMBERITAHUAN: Sebahagian jalan susur LDP ditutup sehingga 9 Jun

Sebahagian lorong kiri jalan susur LDP ditutup
Sebahagian lorong kiri jalan susur LDP ditutup
KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada lorong kiri di jalan susur Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), bermula dari penghujung Jalan Leong Yew Koh hingga ke selekoh ke Jalan Damansara (menghala ke Kuala Lumpur), akan ditutup mulai esok hingga 9 Jun sebagai suatu langkah percubaan.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Amir Mahmood Razak berkata, penutupan lorong sepanjang 300 meter itu adalah untuk membolehkan MRT Corp serta kontraktornya dan pihak berkuasa lebuh raya mengkaji kesan daripada penutupan itu terhadap aliran trafik di LDP dari Petaling Jaya (Kepong) ke Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan hari ini, Amir berkata sepanjang tempoh berkenaan, orang ramai masih boleh menggunakan jalan susur berkenaan untuk ke Jalan Damansara kerana terdapat satu lorong yang dibuka.
"Oleh kerana jalan ini merupakan laluan utama di LDP, penutupannya secara percubaan akan membolehkan kami, sebagai pemegang konsesi, untuk mengukur kesannya sebelum membuat sebarang keputusan bersifat jangka sederhana dan panjang,” kata beliau.
Amir berkata penutupan itu juga perlu dilakukan untuk memudahkan kerja berkaitan pemasangan cerucuk dan konkrit bagi pembinaan tiang MRT dan stesen Taman Tun Dr Ismail pada masa akan datang.
Dalam tempoh percubaan itu, kenderaan dari arah Kepong boleh menggunakan laluan alternatif berikut untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan pada waktu puncak.
- Alternatif I - Kenderaan menghala ke Kuala Lumpur boleh memasuki Lebuhraya SPRINT (ke arah Kampung Sungai Penchala), keluar di Jalan Datuk Sulaiman (melalui TTDI) dan seterusnya menggunakan Jalan Wan Kadir untuk ke Jalan Damansara. Bahagian laluan ini tidak dikenakan bayaran tol.
- Alternatif II - Masuk ke Jalan Burhanuddin Helmi (di Persimpangan Bertingkat Bandar Utama), keluar di Jalan Datuk Sulaiman (melalui TTDI) dan seterusnya menggunakan Jalan Wan Kadir untuk ke Jalan Damansara.
- Alternatif III - Masuk ke Jalan Leong Yew Koh (di Persimpangan Bertingkat Taman Tun Dr. Ismail), keluar di Jalan Datuk Sulaiman (melalui TTDI) dan seterusnya menggunakan Jalan Wan Kadir untuk ke Jalan Damansara.
Maklumat lanjut berhubung penutupan laluan berkenaan boleh didapati dengan melayari laman web MRT di alamat www.kvmrt.commy atau www.mymrt-underground.com.my, twitter @MRTMalaysia atau twitter @MyMRT Underground atau menghubungi talian 1800-82-6868. - Bernama