Tuesday, June 4, 2013

Rusuhan bertambah ganas

Penunjuk perasaan tuntut pengunduran PM Erdogan yang dianggap kian autoritarian
Penunjuk perasaan tuntut pengunduran PM Erdogan
BANTAHAN TERUS BERLAKU: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis antirusuhan Turkey kelmarin semasa bantahan menentang Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, dan parti AKP pimpinannya di tengah Ankara. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Keganasan terus berlaku di Istanbul antara sekumpulan penunjuk perasaan dan polis pada hari keempat bantahan yang tercetus kerana tindakan keras polis terhadap bantahan damai mengenai alam sekitar.
Rusuhan berterusan itu menyebabkan pemerintah Islamis Turkey menghadapi tekanan lebih hebat.

Rusuhan paling dahsyat dalam masa berdekad di Turkey mungkin bermula dengan pemusnahan sebuah taman kecil di Istanbul, tetapi ia telah meletus sebagai menunjukkan bantahan terhadap apa yang dilihat sebagai sikap Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang semakin autoritarian.
Semalam, Encik Erdogan meminta semua pihak bertenang dan beliau menggesa orang ramai supaya tidak terdorong mengikuti bantahan yang menurutnya dianjurkan oleh anasir pengganas.
"Bertenang, santai. Semua ini akan diatasi," katanya, semasa sidang media di lapangan terbang Istanbul sebelum berlepas bagi kunjungan rasmi yang telah dirancang ke Maghribi.
Tindakan beliau keluar negara sedang bantahan antipemerintah berlaku menekankan cemuhannya terhadap penunjuk perasaan, yang disifatkannya sebagai "sekumpulan perosak harta awam" dan tuduhan penunjuk perasaan bahawa Encik Erdogan adalah diktator.
Agensi berita swasta, Dogan, melaporkan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan perusuh itu di kawasan dekat pejabat Encik Erdogan.
Agensi itu turut melaporkan bahawa seramai 500 penunjuk perasaan ditahan semalaman semalam setelah polis meleraikan tunjuk perasaan oleh beribu orang di Ankara.
Saluran televisyen Fox Turkey melaporkan bahawa 300 orang lain ditahan dalam tindakan keras serupa di Izmir, bandar ketiga terbesar di Turkey.
Sekitar 9 malam (waktu tempatan) di Ankara semalam, bunyi bantahan berbeza mula kedengaran.
Di kawasan perumahan di serata Ankara, penduduk tempatan mula memukul periuk belanga yang mengeluarkan bunyi yang kuat sebagai tanda tentangan terhadap pemerintahan Encik Erdogan.
Penunjuk perasaan meniup wisel serta membuka dan menutup lampu sebagai tanda bantahan.
"Tayyip... undur! Tayyip... undur! Lihat berapa ramai yang ada!" laung mereka.
Menghadapi tentangan daripada kumpulan hak asasi manusia dan beberapa sekutu Baratnya, pemerintah Turkey mengakui pihak polis mungkin telah bertindak keterlaluan terhadap bantahan yang berlaku.
Masalah bermula Jumaat lalu apabila polis melepaskan gas pemedih mata ke arah sekumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan secara damai kerana membangkang usaha membangunkan semula Taman Gezi dekat Dataran Taksim di tengah Istanbul.
Namun, setelah tindakan keras polis terhadap kumpulan penunjuk perasaan itu, bantahan merebak bukan sahaja ke Ankara bahkan ke bandar-bandar lain.
"Ia bukan lagi tentang projek Taman Gezi. Ia kini menjadi pergerakan menentang pemerintah yang semakin campur tangan dalam kehidupan peribadi kami," kata Encik Hamdi, salah seorang penunjuk perasaan.
Encik Hamdi merupakan salah seorang yang menentang rang yang diluluskan di parlimen minggu lalu dan hampir menjadi undang-undang, melarang penjualan dan meminum minuman keras.
Encik Erdogan, dalam wawancara yang disiarkan di televisyen kelmarin, bertegas menyatakan ia merupakan isu kesihatan awam.
"Mereka yang minum adalah pemabuk,'' katanya sebelum mengubah pendiriannya sedikit.
"Saya tidak mahu katakan semua, tetapi mereka yang kerap minum," tambahnya.
Bagi pengkritiknya, Encik Erdogan, seorang Muslim yang taat, sedang cuba memaksakan nilai-nilainya sendiri pada negara yang mengikut perlembagaan adalah negara sekular. - AFP, AP, Reuters.