Monday, June 3, 2013

Virus Mers korbankan tiga lagi jiwa

RIYADH: Arab Saudi melaporkan tiga lagi kematian akibat jangkitan virus baru menjejas pernafasan yang dikaitkan dengan Sars.
Ia menjadikan jumlah kematian sejauh ini mencapai 24 orang di negara itu.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi semalam berkata tiga mangsa virus yang maut itu adalah antara 38 orang yang dijangkiti virus 'Mers' di negara tersebut.
Menurut kementerian itu, dua daripada tiga kematian yang dilaporkan semalam adalah mereka yang sudah mengalami penyakit kronik.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kuman baru itu pertama kali dilihat di Timur Tengah dan ia telah membunuh kira-kira 800 orang dalam satu wabak global pada 2003.

Kelmarin, WHO berkata sebelum pengumuman terbaru Arab Saudi itu, ia telah diberitahu bahawa 51 kes yang disahkan akibat jangkitan virus baru itu telah berlaku sejak September lalu.
Sebanyak 30 daripada kes-kes itu membawa maut.
Virus yang sebelum ini dikenali sebagai 'nCoV-EMC novel coronavirus' itu adalah 'sepupu' Sars.
Sars pernah mencetuskan kebimbangan kesihatan sedunia pada 2003 apabila ia beralih daripada jangkitan antara haiwan kepada jangkitan antara manusia di Asia dan membunuh kira-kira 800 pesakit.
Seperti Sars, virus baru itu kelihatan menyebabkan jangkitan mendalam pada paru-paru dengan pesakitnya akan mengalami suhu badan yang tinggi, batuk dan kesukaran untuk bernafas.
Bagaimanapun, virus baru itu berbeza daripada Sars kerana ia juga menyebabkan kerosakan ginjal dengan segera.
Para pegawai kesihatan telah meluahkan kebimbangan mereka terhadap kadar kematian yang tinggi akibat jangkitan virus baru itu berbanding dengan jumlah kesnya.
Mereka memberi amaran bahawa penyakit itu boleh mencetuskan satu krisis global baru jika ia berupaya merebak dengan mudah. - AP, AFP.