Tuesday, July 23, 2013

65 maut dalam serangan bom di Baghdad

serangan bom di Baghdad
BAGHDAD: Satu siri letupan telah membunuh 65 orang di Baghdad malam kelmarin sedang Iraq bergelut cuba menangani keganasan paling teruk yang pernah dialami negara itu sejak 2008.
Sejauh ini, 520 orang telah terkorban akibat keganasan yang berlaku di negara itu bulan ini sahaja.
Sebanyak 12 bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di Baghdad, sementara sebutir bom meletup di Madain, selatan ibu kota negara itu, kata seorang kolonel polis dan seorang pegawai perubatan.
Letupan-letupan itu turut mencederakan 190 orang.
Bom-bom itu meletup sedang penduduk Baghdad keluar ke kedai dan bersantai di kafe selepas berbuka puasa.
Dalam kejadian paling teruk, dua bom kereta membunuh 12 orang di Karrada, sementara dua bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di Zafraniyah. Kedua-dua kawasan itu berada di tengah Baghdad.


Keganasan turut melanda utara Iraq dengan sebutir bom tepi jalan membunuh seorang pegawai polis dan mencederakan seorang penduduk lain di bandar Mosul, sementara sebutir bom kereta ke tenggara bandar itu membunuh seorang wanita dan mencederakan 22 orang yang lain, termasuk tujuh pegawai polis.
Sebutir bom ke barat kawasan itu pula mencederakan tiga orang lain.
Kejadian kelmarin menjadikan hari itu hari paling berdarah di Iraq sejak serangan 10 Jun lalu menyebabkan 78 orang terbunuh.
Siri letupan bom kelmarin berlaku sehari setelah seorang pengebom nekad membunuh 20 orang dalam sebuah masjid masyarakat Sunni di utara ibu kota Iraq.
Sejak beberapa bulan lalu, puak militan telah menyerang kedua-dua masjid Sunni dan Syiah, meningkatkan kebimbangan negara itu akan kembali kepda konflik perkauman besar-besaran yang telah membunuh berpuluh ribu mangsa pada tahun-tahun lalu.
Mengikut data AFP, yang berdasarkan sumber pasukan keselamatan dan perubatan, lebih 2,700 orang telah terbunuh di Iraq sejak awal tahun ini.
Kebanyakan pegawai kanan Iraq dan pemimpin agama telah berdiam diri terhadap keganasan-keganasan yang berlaku.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri Iraq, Encik Nuri al-Maliki, telah memerintahkan supaya pegawai kanan keselamatan dirombak tetapi langkah itu gagal mengekang keganasan.
Iraq telah berhadapan serangan puak militan selama bertahun-tahun, tetapi menurut para penganalisis, rasa tidak puas hati yang meluas antara anggota puak majoriti Sunni yang gagal ditangani pemerintah telah menyebabkan keganasan meningkat di negara itu tahun ini. - AFP.