Sunday, July 14, 2013

Banduan merusuh, penjara dibakar

Banduan merusuh, penjara dibakar
"Tujuh banduan akan mewakili semua banduan di situ dan akan berunding pada petang ini (semalam) dengan pegawai kanan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Kemanusian," kata Encik Prakoso.

MEDAN: Lebih 1,000 pegawai polis dan askar Indonesia semalam meneruskan usaha memburu sekitar 100 banduan yang meloloskan diri apabila sebuah penjara dibakar dalam satu rusuhan di sini kelmarin.
Antara banduan yang kini diburu ialah enam anggota pengganas.
Dalam rusuhan kelmarin, banduan di penjara Tanjung Gusta memulakan kebakaran, selain melempar botol ke arah para pengawal kerana marah apabila bekalan elektrik dan air di prasarana itu terputus.
"Kekacauan tercetus kerana bekalan air dan elektrik terputus sejak 5 pagi dan menjelang 5.30 petang, banduan-banduan mengadakan bantahan dan memecahkan pintu utama," kata jurucakap polis Indonesia, Encik Boy Rafli Amar.
Para saksi berkata bunyi tembakan turut kedengaran dari dalam penjara.


Anggota bomba dilaporkan mengambil masa semalaman memadamkan kebakaran di situ.
Tiga banduan dan dua pegawai penjara, termasuk seorang wanita, terkorban dalam kebakaran itu.
Sekitar 150 banduan dapat meloloskan diri tetapi berdozen berjaya ditahan semula kemudian.
Penjara Tanjung Gusta dilaporkan menempatkan 2,600 banduan, jauh lebih ramai daripada kapasiti rasminya seramai 1,054 orang.
Semalam, pasukan keselamatan telah berjaya menguasai semula kawalan penjara itu.
Awal dari itu, para banduan membenarkan sekitar dua dozen askar tetapi menghalang pegawai polis daripada memasuki penjara itu untuk memeriksa keadaan.
"Kami tidak suka polis. Mereka tidak berperikemanusiaan. Mereka sering memukul kami," kata salah seorang banduan.
Jurucakap polis Sumatera Utara, Encik Heru Prakoso, berkata para banduan dan pegawai pemerintah dijadualkan mengadakan rundingan semalam.
"Tujuh banduan akan mewakili semua banduan di situ dan akan berunding pada petang ini (semalam) dengan pegawai kanan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Kemanusian," kata Encik Prakoso.
Menurut Encik Prakoso, penjara itu menempatkan 11 pesalah pengganasan dengan enam daripada mereka masih diburu.
Mereka ditahan ekoran penglibatan dalam latihan militan di wilayah Aceh sementara yang lain turut terlibat dalam satu rompakan bank.
Seramai 55 banduan, termasuk tiga pesalah pengganasan, telah berjaya ditahan semula sejauh ini.
Seramai 10 pengawal penjara telah ditawan semasa rusuhan malam kelmarin tetapi kemudian dibebaskan.
Sementara itu, Naib Menteri Hukum dan Hak Asasi Kemanusiaan, Encik Denny Indrayana, yang berada di Medan untuk memantau operasi memburu para banduan, telah mengerahkan agar semua banduan lain dipindahkan.
Banduan yang telah melarikan diri pula dirayu agar segera menyerah diri.
"Mereka yang enggan menyerah diri akan dikenakan tindakan yang lebih tegas," kata Encik Indrayana. - AP, AFP, Reuters.