Thursday, July 4, 2013

Gempa di Aceh ragut 24 jiwa

BLANG MANCUNG (Indonesia): Pasukan penyelamat Indonesia terpaksa menempuh cabaran tanah runtuh dan jalan raya yang terhalang semalam ke tempat mangsa-mangsa gempa bumi di wilayah Aceh, Indonesia.
Gempa bumi yang berlaku kelmarin meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk beberapa kanak-kanak yang maut apabila sebuah masjid roboh.
Lebih 250 orang juga cedera di kawasan pergunungan pedalaman dan terpencil Aceh itu apabila gempa sekuat 6.1 pada skala Richter menggegarkan wilayah di utara Sumatera itu.


Gempa tersebut menyebabkan banyak bangunan roboh, selain mencetuskan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.
Kejadian gempa yang berlaku pada paras kedalaman hanya 10 kilometer dari permukaan itu mencetuskan panik di kalangan penduduk di Aceh, sebuah wilayah yang sering mengalami bencana alam dan di mana lebih 170,000 orang terbunuh apabila kejadian gempa dan tsunami melanda wilayah itu pada 2004.
Di Kampung Blang Mancung, sebuah daerah di bahagian tengah Aceh, sekurangkurangnya enam kanak-kanak terbunuh apabila sebuah masjid roboh ketika satu sesi tilawah Al-Quran sedang dijalankan.
Para penyelamat terpaksa mengorek celah-celah serpihan masjid yang roboh itu dengan jentera pengorek bagi mencari lebih ramai kanak-kanak yang dipercayai terperangkap. Bagaimanapun, tidak ada mayat lagi yang ditemui, menurut seorang wartawan agensi berita AFP yang berada di tempat kejadian.
Kebanyakan rumah di daerah kampung roboh dan para penduduknya masih lagi mengorek di celahan serpihan reruntuhan itu dengan tangan mereka mencari barangan milik mereka, kata wartawan itu.
Mayat-mayat diletakkan dan ditutupi dengan selimut di sebuah pusat kesihatan kecemasan sementara di kampung tersebut.
"Inilah kejadian gempa bumi paling besar yang pernah kami saksikan di sini," kata Encik Subhan Sahara, ketua agensi bencana daerah itu, kepada AFP.
"Orang ramai masih takut, terutamanya selepas gegaran susulan malam tadi (kelmarin). Tiada sesiapa yang berani tinggal dalam rumah. Semuanya tidur di jalan raya atau di tempat meletak kereta.
"Gempa bumi itu mencetuskan banyak kejadian tanah runtuh. Orang ramai tidak boleh keluar dari kawasan itu kerana pokok-pokok tumbang dan timbunan tanah menghalang jalan," kata beliau.
Hospital utama di daerah itu terlalu sesak dan khemah-khemah terpaksa didirikan di luar bangunannya bagi merawat mangsa gempa, katanya lagi sambil menambah bahawa bekalan makanan dan air semakin berkurangan.
"Sejauh ini 24 orang maut, 249 cedera dan ribuan bangunan dan rumah rosak akibat gempa itu," kata Encik Sutopo Purwo Nugroho, seorang jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia.
Mereka yang maut dan tercedera adalah dari dua daerah paling teruk dilanda gempa iaitu di kawasan tengah Aceh dan Bener Meriah, katanya.
Di Bener Meriah, kira-kira 300 orang terpaksa berkhemah di kawasan terbuka seperti padang bola sepak, selepas daerah itu dilanda gegaran susulan.
Aceh sering dilanda gempa bumi dan kali terakhir ia dilanda kejadian itu ialah pada April tahun lalu apabila gempa sekuat 8.6 pada skala Richter melanda daerah Banda Aceh, membunuh lima orang dan mencederakan tujuh lagi. - AFP.