Sunday, July 7, 2013

Ketatkan demi kebaikan bersama

Datuk Fatimah Abdullah: Ketatkan demi kebaikan bersama
KUCHING: Sarawak menyokong keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengetatkan syarat pelantikan jawatan pengetua dan guru besar dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara ke arah lebih mantap. 

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, langkah itu dilihat bertepatan memandangkan peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menentukan hala tuju prestasi sekolah. 

“Ini kerana pengetua dan guru besar yang bertanggungjawab memimpin dan memantau semua kakitangan guru dalam memantapkan visi dan misi sekolah sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan pelajar berkualiti untuk pembangunan negara. 



“Untuk itu, sudah tiba waktunya bagi KPM bertindak lebih tegas dan agresif dalam soal pelantikan jawatan pengetua dan guru besar dalam kalangan guru kanan dan junior,” katanya. 

Menurutnya, sebelum ini, pelantikan jawatan pengetua dan guru besar dilaksanakan secara automatik atau berdasarkan kepada tempoh perkhidmatannya sebagai seorang guru. 

“Namun, pelantikan sebegini dilihat tidak relevan lagi berikutan ada sebilangan guru-guru kanan, kurang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang masing-masing dan ini boleh mendatangkan  masalah dalam merealisasikan matlamat kerajaan. 

“Misalnya, mereka (guru kanan) ini serba kekurangan dalam aspek kepimpinan, perkhidmatan, pengurusan,  pentadbiran dan sebagainya. 

“Bagaimanapun, jika didapati guru kanan mempunyai kesemua kepakaran ini, adalah tidak mustahil untuk memilih mereka memegang jawatan tersebut, begitu juga dalam kalangan guru muda,” ujarnya. 

Oleh itu, Fatimah yang juga Adun  Dalat bersetuju dengan tindakan KPM  menekankan soal pelantikan pengetua dan guru besar perlu melalui proses penelitian yang teliti demi kebaikan bersama.