Saturday, July 6, 2013

'Langkah mayat saya dulu...'

'Langkah mayat saya dulu...'
SURAM: Bayangan lelaki ini dengan berlatarkan jet pejuang tentera saat matahari terbenam di Dataran Tahrir, membayangkan kesuraman masa depan Mesir. – REUTERS
KAHIRAH: Ketua tentera datang kepada mantan presiden Mesir yang digulingkan, Encik Mohammed Mursi, dengan satu permintaan mudah: "Letak jawatan secara sukarela dan jangan menentang kata dua pihak tentera atau permintaan orang ramai di jalanan."
"Langkah mayat saya dahulu!" jawab Encik Mursi kepada Jeneral Abdel-Fattah el-Sisi pada Isnin lalu, dua hari sebelum pihak tentera akhirnya menggulingkan pemimpin parti Islam itu selepas setahun memegang jawatan.
Akhirnya, presiden pertama Mesir yang dilantik secara bebas itu mendapati dirinya dipinggir, dengan para sekutunya meninggalkan beliau manakala pihak polis dan tentera enggan menyokongnya lagi.


Malah, unit Pengawal Republikan juga mengundurkan diri sedang anggota komando tentera membawa beliau ke sebuah kemudahan Kementerian Pertahanan yang tidak dinamakan, menurut para pegawai tentera, keselamatan dan Persaudaraan Islam (Ikhwan) yang mendedahkan kisah di sebalik detik-detik terakhir Encik Mursi sebelum beliau digulingkan kepada agensi berita The Associated Press (AP).
Mereka bercakap atas syarat nama masing-masing tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa berbicara dengan pihak media.
Para pegawai Ikhwan berkata mereka melihat kemungkinan penggulingan itu seawal 23 Jun lalu - seminggu sebelum pihak pembangkang merancang protes besar-besaran pertamanya.
Pihak tentera memberi bekas presiden itu tujuh hari bagi menyelesaikan perbalahannya dengan pembangkang.
Sejak beberapa bulan lalu, Encik Mursi kelihatan sering bertelagah dengan setiap institusi di Mesir, termasuk dengan tokoh-tokoh agama Islam dan Kristian tertinggi, pihak kehakiman, tentera, polis dan agensi risikan.
Penentang politik beliau pula mengapi-apikan kemarahan orang ramai sambil berkata mantan presiden itu memberikan terlalu banyak kuasa kepada Ikhwan dan parti Islam lain serta gagal menangani masalah ekonomi Mesir.
Jelas, Encik Mursi dan agensi-agensi keselamatan Mesir tidak mempercayai satu sama lain sehingga agensi berkenaan mulai menyembunyikan maklumat daripada pengetahuannya, menurut para pegawai.
Pihak polis juga enggan melindungi pejabat-pejabat Ikhwan yang diserang dalam gelombang baru protes-protes itu.
Makanya, sedang Encik Mursi berjuang mempertahankan dirinya, tidak ada seorang pun yang menyokong beliau, kecuali dengan menghubungi duta-duta Barat dan segelintir pembantu beliau dari Ikhwan yang hanya dapat membantu beliau mencatatkan dua ucapan terakhirnya.
Dalam ucapan-ucapan itu, beliau dengan penuh emosi menekankan bahawa beliau pemimpin yang sah dipilih rakyat - satu topik yang berulang kali ditimbulkan oleh Encik Mursi semasa mengadakan rundingan dengan Jeneral el-Sisi.
Jurucakap Ikhwan, Encik Murad Ali, berkata pihak tentera sudah memutuskan Encik Mursi harus mengundurkan diri dan Jeneral el-Sisi enggan menerima sebarang konsesi daripada mantan presiden itu.
"Kami terlalu lurus... Kami tidak pernah membayangkan pengkhianatan akan berlaku sejauh ini," kata Encik Ali.
"Ia seperti 'sama ada kami letakkan anda dalam penjara atau anda keluar dan umumkan anda meletak jawatan'," katanya lagi sambil menambah Encik Mursi menolak kededuanya kerana enggan menyerahkan Mesir kepada pemerintahan tentera lagi.
Namun, seorang pegawai berkata Encik Mursi menjawab dengan tegas kepada permintaan Jeneral el-Sisi itu: "Langkah mayat saya dahulu!" - AP.