Yang Amat Berhormat Mohamed Azmin Ali. Menteri Besar Selangor

Monday, July 29, 2013

Mesir berdarah lagi

Mesir berdarah lagi
BERI MANDAT KEPADA TENTERA: Jutaan rakyat Mesir yang menyokong ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sissi berhimpun di Dataran Tahrir, Kahirah, semalam. - Foto AFP
KAHIRAH: Bumi Mesir terus berdarah apabila polis negara itu didakwa menembak mati sekurang-kurangnya 75 penyokong bekas Presiden yang diguling, Encik Mohamed Mursi, dalam pertempuran terbaru di sini awal semalam.
Saluran televisyen Al Jazeera melaporkan sekitar 4,500 orang cedera.
Sumber pasukan keselamatan bagaimanapun menafikan telah menggunakan peluru hidup, sebaliknya hanya gas pemedih mata.
Kejadian itu dilaporkan berlaku menjelang waktu sahur, dengan pasukan penembak tepat polis Mesir didakwa mengambil tempat di atas bangunan Fakulti Dakwah, Universiti Al-Azhar, menembak rakyat yang kelam-kabut selepas ditembak gas pemedih mata sebelum itu.


Polis juga dikatakan menggunakan kereta perisai mereka membelah lautan peserta yang berhimpun.
Jurucakap Persaudaraan Islam (Ikhwanul Muslimin), Gehad El-Haddad, berkata:
"Mereka menembak bukan tujuan untuk mencederakan, mereka menembak untuk membunuh. Luka peluru tembakan jelas nampak di kepala dan dada."
Encik Haddad berkata pada mulanya polis melepaskan beberapa gas pemedih mata selepas para penyokong Encik Mursi mula melimpah ruah dari tapak utama tunjuk perasaan di Dataran Rabaa al-Adawiya dan membanjiri kawasan berdekatan Jambatan 6th October.
"Di tengah-tengah kepulan asap itu, tembakan mula dilepaskan," kata Encik Haddad.
Beberapa jam selepas pertempuran itu berlaku, tembakan masih lagi kedengaran memandangkan para penyokong Encik Mursi masih enggan berganjak.
"Saya telah cuba sejak lima jam lalu untuk memujuk para belia ini berundur. Tetapi mereka tidak mahu. Mereka kata mereka telah bayar dengan darah dan mereka tidak akan berundur," kata seorang ahli politik Ikhwanul, Encik Saad el-Hosseini.
Ini kali kedua bulan ini pembunuhan beramai-ramai berlaku berdekataan Rabaa.
Pada 8 Julai lalu, seramai 53 orang terkorban apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai selepas solat subuh.
Sebelum ini, ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, telah menyeru agar rakyat keluar membanjiri jalan raya kelmarin bagi memberi pihak tentera 'mandat' untuk menamatkan keganasan di negara itu.
Jutaan penyokong telah menyahut seruan berkenaan.
Namun, pada masa yang masa penyokong Encik Mursi turut mengadakan tunjuk perasaan di jalanan di beberapa bandar raya dan pekan di seluruh Mesir sebagai tindak balas.
Awal dari itu, Menteri Dalam Negeri Mesir, Encik Mohammed Ibrahim, ditukil sebagai berkata tunjuk perasaan berpanjangan oleh penyokong Encik Mursi di Kahirah akan ditamatkan mengikut kerangka undang-undang.
Menurutnya, penduduk setempat di kawasan itu membuat aduan mengenainya, namun belum ada sebarang keputusan dibuat pihak pendakwaan.
"Namun, ia akan ditamatkan mengikut kerangka dalam perundangan," katanya.
Keganasan semalam bagaimanapun dijangka menambahkan lagi ketegangan kerana pasukan keselamatan akan dilihat sebagai menggunakan kekerasan melampau ke atas penyokong Encik Mursi.
Kelmarin, pihak berkuasa Mesir menahan Encik Mursi selama 15 hari berhubung pelbagai tuduhan, termasuk pembunuhan anggota tentera dan berkonspirasi dengan kumpulan Palestin, Hamas.
Encik Mursi telah ditahan tentera sejak digulingkan pada 3 Julai lalu tetapi sebelum ini tidak berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang. - AP, AFP, Reuters.