Sunday, July 28, 2013

Obama hos majlis iftar sempena Ramadan

Obama hos majlis iftar sempena Ramadan
BERUCAP DI MAJLIS IFTAR: Presiden Barack Obama hargai sumbangan Muslim AS dalam bidang keusahawanan, inovator teknologi dan perubatan - Foto AP
WASHINGTON: Seperti tahun-tahun sebelumnya, Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, sekali lagi menjadi hos kepada sekumpulan anggota masyarakat Islam negaranya semalam.
Kali ini, beliau turut memberi penghargaan kepada sumbangan masyarakat Islam Amerika dalam usaha mereka membantu membangunkan negara itu dalam bidang keusahawanan, inovator teknologi dan pengasas perubatan.
Encik Obama menyatakan demikian dalam ucapannya di Rumah Putih semasa menjadi hos majlis iftar sempena menyambut Ramadan.
Encik Obama berkata bahawa Ramadan adalah "waktu untuk membuat renungan, satu peluang menunjukkan pengabdian seseorang kepada Tuhan melalui doa dan berpuasa. Ia juga satu masa bagi keluarga dan rakan meluangkan waktu bersama".


Menurut beliau, adalah menjadi satu tradisi Rumah Putih meraikan hari-hari suci pelbagai agama, sambil menambah bahawa majlis-majlis itu meraikan kepelbagaian yang menentukan ciri-ciri negara tersebut dan mengesahkan adanya kebebasan beragama.
Encik Obama berkata rakyat Amerika dan masyarakat di Timur Tengah juga mempunyai matlamat yang sama bagi peluang ekonomi dan keusahawanan.
"Kita bekerja lebih keras, kita menetapkan matlamat sedikit lebih tinggi dan kita terus berusaha menghasilkan lebih banyak peluang untuk anak-anak dan generasi masa depan," tegas beliau.
"Sudah pasti ini bukan hanya satu impian Amerika, ia aspirasi semua orang di seluruh dunia.
"Ia satu hasrat asas manusia mencapai kemajuan, untuk memburu maruah yang datang daripada usaha demi memberikan anak-anak kita sesuatu yang lebih baik," tambahnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa hasrat mencapai kebebasan ekonomi dan peluang itu, sama seperti kebebasan politik "adalah akar umbi kepada banyak perubahan yang kita saksikan di seluruh dunia dalam beberapa tahun yang lalu, termasuk di Afrika Utara dan di Timur Tengah".
Ini adalah kali kelima beliau menjadi hos kepada majlis Iftar yang diadakan di Bilik Makan Negara, Rumah Putih, di Washington. - AP.