Saturday, July 6, 2013

PBB akui keprihatinan rakyat tapi risau tindakan tentera

Dunia sedang memerhatikan dengan teliti langkah-langkah seterusnya dengan harapan rakyat Mesir akan kekal di jalan damai.

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, percaya rakyat Mesir mempunyai "keprihatinan sah" tetapi risau tentang penyingkiran Presiden Mohamed Mursi oleh pihak tentera, kata jurucakap beliau kelmarin.
"Dalam bantahan mereka, rakyat Mesir telah menyuarakan kekecewaan yang mendalam dan menunjukkan keprihatinan sah.
"Pada masa yang sama, campur tangan pihak tentera dalam hal ehwal negara adalah sesuatu yang membimbangkan," kata timbalan jurucakap PBB, Encik Eduardo del Buey.
Pemimpin PBB itu "sedang mengikuti dengan teliti dan rasa bimbang yang semakin meningkat mengenai perkembangan yang pantas berlaku di Mesir. Beliau terus berdiri menyokong aspirasi rakyat Mesir," kata Encik del Buey.


Dengan tindakan tentera sekarang menggantung perlembagaan, Mesir kini berada di "persimpangan rumit" yang baru, tambah Encik del Buey.
Beliau juga menegaskan rayuan Encik Ban agar rakyat Mesir terus mengamalkan sikap "tenang, tidak menggunakan keganasan, dialog dan menahan diri" sedang negara itu menghadapi "ketegangan dan ketidakpastian".`
"Pendekatan menyeluruh sangat penting dalam menangani keperluan dan keprihatinan semua warga Mesir. Pengekalan hak asasi, termasuk kebebasan bersuara dan berkumpul, kekal sangat penting," kata Encik del Buey.
"Oleh itu, adalah amat penting sekali semua pihak segera menguatkuasakan semula pemerintahan sivil mengikut prinsip demokrasi.
"Dunia sedang memerhatikan dengan teliti langkah-langkah seterusnya dengan harapan rakyat Mesir akan kekal di jalan damai.
"Kami berharap mereka dapat mengatasi kesukaran berat yang mereka hadapi hari ini dan mencari jalan tengah yang diperlukan bagi bergerak ke hadapan dalam peralihan yang diperjuangkan begitu ramai rakyat dengan begitu berani," katanya lagi. - AFP.