Tuesday, July 30, 2013

Pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia mati ditembak

KUALA LUMPUR - Pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia maut ditembak selepas bertemu dengan seorang lelaki bagi membincangkan urusan jual-beli saham di tempat letak kenderaan di sebuah tokong di Lorong Ceylon di sini hari ini.
Kejadian pukul 2 petang itu berlaku ketika Hussain Ahmad Najadi, 75, pergi ke tokong berkenaan bersama isterinya.
Hussain mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di dada dan rusuk kiri manakala isterinya parah ditembak di pergelangan tangan kiri dan paha kanan.
Wanita berusia 49 tahun itu kini stabil selepas dirawat di Hospital Tung Shing di sini.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa ke tokong tersebut untuk bertemu seorang lelaki atas urusan jual-beli saham.
"Motif sebenar masih lagi belum dikenal pasti, namun kita percaya ia ada kaitan dengan perniagaan.
"Kita percaya terdapat tiga suspek berumur lingkungan 35 hingga 40 tahun terlibat sama termasuk rakannya yang menunggu di luar tokong," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan cubaan membunuh