Friday, July 26, 2013

Satu Peratus Rakyat Malaysia Hadapi Sakit Mental

KUALA LUMPUR Satu peratus daripada keseluruhan (28.3 juta) penduduk Malaysia menghadapi penyakit mental manakala 20 peratus lagi menghadapi masalah kesihatan mental seperti murung, tekanan dan keresahan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Menyedari tidak mudah untuk mengenal pasti masalah emosi dan tekanan mental seseorang, Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan saringan bagi mengenal pasti penyakit dan tekanan emosi individu.
Ini dilakukan di 806 buah klinik kesihatan, 40 buah hospital dan empat hospital mental di seluruh negara, katanya. "Terdapat 224 pakar psiakiatri dan 100 pakar psiakiatri klinikal di seluruh negara," kata Dr Hilmi ketika menjawab soalan tambahan Senator S.Bagiam Ayem Perumal pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini Khamis.


Kepada soalan asal Bagiam yang bertanyakan langkah Kementerian Kesihatan untuk memberi kesedaran mengenai masalah stres kepada rakyat, beliau berkata ia termasuk mewujudkan satu portal mengenai perkara itu dan mempertingkat program dan latihan kemahiran menangani stres dalam kalangan komuniti. - BERNAMA