Wednesday, July 17, 2013

Tahanan EO kembali mengganas, berebut kawasan

PUTRAJAYA - Beberapa siri pembunuhan melibatkan senjata api yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada perebutan kawasan antara kumpulan gengster yang didalangi oleh bekas tahanan di bawah Akta Ordinan Darurat 1969 (EO).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 2,600 tahanan EO dari pusat tahanan Simpang Renggam, Johor telah dibebaskan selepas akta itu dimansuhkan dua tahun lalu.
"Mereka telah kembali kepada masyarakat dan mula menggerakkan kumpulan jenayah berat dan terancang. Bekas tahanan EO ini sedang berebut kawasan dan anggota kumpulan mereka saling bertempur.
"Sebab itu kita dapat lihat jenayah kategori lain menurun manakala kadar jenayah berat bertambah sejak EO di mansuhkan," kata beliau pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di sini malam tadi.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, semua pihak diminta menyokong undang-undang baharu bagi menggantikan EO sebagai langkah jangka masa panjang menangani kejadian jenayah berat.