Friday, July 5, 2013

Tahniah Tan Sri... !

Ekoran daripada tindakan Tan Sri itu, kesemua suspek telah melarikan diri sebelum salah seorang daripada mereka rebah kira-kira 30 meter daripada klinik berkenaan

CHERAS - Cubaan sekumpulan empat penjenayah bersenjatakan parang menyamun sebuah klinik berakhir tragedi setelah seorang daripada mereka maut ditembak seorang ahli perniagaan berstatus Tan Sri di Poliklinik Pertama, Taman Pertama di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sebelum kejadian pada kira-kira pukul 9.50 malam itu, kumpulan penjenayah terbabit telah menyerbu masuk ke dalam klinik tersebut sebelum memaksa seorang doktor dan tiga pembantu klinik berkenaan untuk menyerahkan wang dan barangan berharga masing-masing.


"Mereka cuba untuk menyamun pesakit yang berada di dalam klinik tersebut tanpa menyedari salah seorang daripada mereka ialah seorang Tan Sri.

"Sewaktu salah seorang suspek mengacukan parang ke arah Tan Sri berkenaan, dia (Tan Sri) telah mengeluarkan pistol miliknya sebelum melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri," ujarnya kepada pemberita.

Ekoran daripada tindakan Tan Sri itu, kesemua suspek telah melarikan diri sebelum salah seorang daripada mereka rebah kira-kira 30 meter daripada klinik berkenaan dipercayai akibat cedera di beberapa bahagian badan akibat terkena tembakan.