Monday, July 15, 2013

Taufan Soulik: 30 cedera disebabkan hujan lebat dan angin kencang

Lebih 8,000 orang terpaksa dipindahkan daripada kediaman masingmasing sebelum taufan itu melanda, dengan sebahagian besarnya berasal dari kawasan selatan yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.
Anggota tentera telah dikerahkan ke kawasan berisiko tinggi dan seluruh pulau itu diisytiharkan sebagai "zon kecemasan" oleh pihak berkuasa.
Taufan Soulik: 30 cedera disebabkan hujan lebat dan angin kencang
CUBA ANGKAT POKOK: Kakitangan polis dan bomba sedang cuba mengangkat sebatang pokok yang menghempap sebuah teksi selepas Taufan Soulik melanda Taipei, semalam. Musibah itu menyebabkan ribuan penduduk Taiwan terpaksa dipindahkan daripada kediaman mereka dan beberapa jadual penerbangan masuk dan keluar dari negara itu terpaksa dibatalkan atau ditangguh. - Foto AFP

Seorang maut dek Taufan Soulik

30 rakyat Taiwan juga cedera disebabkan hujan lebat dan angin kencang
TAIPEI: Taufan Soulik melanda Taiwan dengan membawa bersamanya hujan lebat dan angin kencang semalam, yang menyebabkan seorang maut dan sekurang-kurangnya 30 orang cedera.
Sedang fajar menjelang, beberapa kawasan ditenggelami air bah, bumbung rumah diterbangkan angin kencang serta serpihan sampah dan pokok tumbang berselerak di jalan raya.
Lebih banyak hujan lebat dan angin kencang diramalkan, dengan pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlakunya kejadian tanah runtuh dan banjir selanjutnya.


Lebih 8,000 orang terpaksa dipindahkan daripada kediaman masingmasing sebelum taufan itu melanda, dengan sebahagian besarnya berasal dari kawasan selatan yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.
Anggota tentera telah dikerahkan ke kawasan berisiko tinggi dan seluruh pulau itu diisytiharkan sebagai "zon kecemasan" oleh pihak berkuasa.
Di Taipei, seorang pegawai polis berusia 50 tahun maut selepas ditimpa bata rapuh akibat taufan itu, kata Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC) Taiwan.
Tiga orang mengalami cedera parah dengan 31 lagi dilaporkan cedera di empat bandar timur laut Taiwan, kebanyakannya ditimpa pokok tumbang atau terkena serpihan melayang.
Taufan Soulik melanda kawasan pantai timur laut Taiwan sekitar 3 pagi semalam, waktu tempatan.
Ia membawa bersamanya angin kencang dengan kelajuan sehingga 190 kilometer sejam (kph), kata Biro Cuaca Pusat Taiwan.
"Kami menjangkakan Soulik terus menjejas Taiwan dengan hujan lebat dan angin kencang di seluruh Taiwan sepanjang Sabtu (semalam), walaupun ia kelihatan beredar dan menuju ke arah China," kata seorang peramal cuaca daripada biro itu kepada agensi berita AFP.
Sembilan orang terpaksa diselamatkan dari rumah masing-masing di Puli, dalam kawasan Shiangshan, di bahagian tengah wilayah Nantou. Di sini air bah mencapai kedalaman satu tingkat bangunan, menurut Encik Wu Yuan-ming, pegawai majlis perbandaran.
"Mereka terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba dalam bot-bot getah apabila tebing sungai berdekatan pecah.
"Jalan raya banjir dan lumpur mengalir masuk ke rumah - ini lebih serius berbanding dengan apa yang kami ramalkan kerana belum pernah terjadi banjir di Shiangshan sebelum ini.
"Juga, gempa bumi bulan lalu mungkin melembikkan tanah dan menyebabkan tanah runtuh," kata Encik Wu.
Petikan gambar televisyen menunjukkan air berwarna kuning sedalam paras pinggang di jalan raya bandar Wufeng, juga di Nantou.
Bandar Bailan di utara Taiwan menghadapi hujan paling lebat berukuran 900 milimeter sepanjang dua hari lalu, dengan kelajuan angin mencapai 220 kph.
Banyak jalan raya ditenggelami air laut sedalam 30 sentimeter di bandar pelabuhan Keelung, kata Agensi Kebakaran Nasional Taiwan.
Kejadian banjir turut dilaporkan berlaku di kawasan pantai Yilan dan di Bandar Baru Taipei, ke barat laut ibu kota negara itu.
Di seluruh Taiwan, bekalan elektrik hampir 800,000 rumah terputus akibat taufan itu tetapi setengah daripadanya sudah dipulihkan menjelang pagi semalam, menurut Taiwan Power Company (TPC).
Sekitar 170 penerbangan ke Taiwan dan berlepas dari negara itu terpaksa dibatalkan atau ditangguh.
Di China, lebih 300,000 orang terpaksa dipindahkan menjelang landaan Taufan Soulik. - AFP.