Wednesday, August 21, 2013

EU semak ikatan dengan Mesir

EU semak ikatan dengan Mesir
BERSIAP SEDIA: Askar-askar Mesir sedang memasang kawat duri yang mengepung bangunan Mahkamah Agung Perlembagaan di Kahirah, kelmarin, sebagai persiapan terhadap sebarang kemungkinan berlakunya bantahan oleh para penyokong Encik Mohamed Mursi, sedang ketua tentera negara itu berikrar akan bertindak keras terhadap sebarang protes yang dirancang oleh para pembantah itu. - Foto AFP
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) semalam mengadakan pusingan pertama rundingan tergempar mengenai pergolakan berdarah di Mesir, di tengah-tengah amaran bahawa blok serantau itu bersedia "menyemak semula dengan segera" hubungannya dengan negara Arab itu.
Para duta Jawatankuasa Politik dan Keselamatan blok tersebut mengadakan mesyuarat itu di Brussels pagi semalam selepas perangkaan kematian akibat pergolakan ganas di Mesir sejak enam hari lalu melonjak kepada hampir 800 orang.
Sambil memberi amaran keganasan berterusan itu akan membawa "akibat yang sukar diramalkan" bagi Mesir dan negara-negara jirannya, para presiden Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus sebelum malam rundingan tersebut berkata blok yang melibatkan 28 negara itu akan menyemak semula hubungannya dengan Kahirah.


"Perkembangan terbaru di Mesir khususnya sejak beberapa hari lalu amat membimbangkan," kata Encik Herman Van Rompuy dan Encik Jose Manuel Barroso dalam satu kenyataan bersama mereka.
"Adalah penting bahawa keganasan seperti itu diakhiri dengan segera," kata mereka lagi.
"Pihak EU akan segera menyemak semula hubungannya dengan Mesir dalam beberapa hari ini," tegas mereka, sambil merujuk kepada tawaran bantuan pinjaman dan geran berjumlah lima bilion euro ($8.5 bilion) yang diikrarkan penderma terbesar di dunia kepada Mesir sejak tahun lalu hingga tahun ini.
Bantuan EU itu, bagaimanapun, bergantung pada sejauh mana kemajuan dicapai dalam sekitaran politik dan kehakiman di Mesir.
Ini bermakna tidak ada bantuan belanjawan secara langsung yang diluluskan bagi pemerintah Mesir sejak tahun lalu kerana kekurangan usaha pembaharuan.
Walaupun terdapat cakap-cakap di beberapa ibu kota Eropah mengenai penangguhan bantuan dan mengenakan sekatan ke atas pihak bertanggungjawab terhadap pertumpahan darah di Mesir itu, seorang diplomat EU, atas syarat namanya tidak didedahkan, berkata rundingan semalam "bukan satu mesyuarat menetapkan keputusan tetapi lebih kepada melihat langkah selanjutnya".
Namun, satu hasil yang boleh dijangkakan dalam mesyuarat itu ialah adanya mesyuarat tergempar dalam masa beberapa hari di antara menteri luar EU.
Sementara itu, sebuah kumpulan militan semalam membunuh sekurang-kurangnya 24 anggota polis Mesir di semenanjung Sinai, di mana serangan ke atas pasukan keselamatan semakin meningkat sejak pihak tentera negara itu menggulingkan Presiden Mohamed Mursi pada 3 Julai.
Tiga anggota polis lain turut cedera dalam serangan bom tangan dan mesingan dekat Rafah, sebuah bandar di utara Sinai.
Serangan itu menunjukkan cabaran yang dihadapi para pemimpin baru Mesir, yang kini sedang menghadapi tentangan para penyokong Persaudaraan Islam (Ikhwan) yang dikaitkan dengan Encik Mursi, dengan sekurang-kurangnya 850 orang terbunuh sejak pihak tentera Mesir menembak ke arah dua khemah protes para pembantah pro-Mursi itu minggu lalu. - AFP, Reuters.