Monday, August 12, 2013

Ini Fakta: Polis antara punca jenayah berleluasa

Senjata api itu disewakan dengan bayaran tertentu untuk sekali ‘tugasan’ jenayah seperti samun, rompakan selain untuk membalas dendam termasuk melakukan pembunuhan.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin sambil menekankan pihaknya memandang serius perkembangan ini dan sudah mengambil langkah perlu untuk membendungnya. “Berdasarkan beberapa kes lampau dan maklumat risikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat kumpulan tertentu menyediakan khidmat sewaan senjata api dengan harga tertentu untuk tujuan jenayah.
“Individu dan kumpulan yang menyediakan perkhidmatan ini bergerak licik dan sering mengubah cara beroperasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu.


“Malah, mereka juga ada kepakaran mengawal selia senjata api berkenaan dengan baik, selain bijak mengelak daripada dikesan apabila penjenayah yang menyewa pistol mereka berjaya ditahan polis,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Ketika ditanya berapa harga pistol disewakan itu, Mohd Bakri enggan mengulas lanjut, namun Harian Metro difahamkan ia antara RM3,000 dan RM5,000 membabitkan jenis Baretta, Smith & Wesson, Glock dan Colt yang diseludup dari Thailand.
Menurutnya, perkhidmatan menyewa pistol dalam kalangan penjenayah wujud berikutan adanya permintaan menyebabkan pihak yang ingin mengaut keuntungan secara mudah bijak mengeksploitasi situasi itu. “Selagi terdapat permintaan terhadap sesuatu termasuk seperti senjata api, akan ada pihak yang mengeksploitasinya untuk mengaut keuntungan.
“Semestinya, senjata api yang disewakan itu digunakan untuk tujuan jenayah seperti samun selain membunuh bagi membalas dendam,” katanya.
Mohd Bakri berkata, siasatan polis juga mendapati kebanyakan kes jenayah menggunakan senjata api yang kerap berlaku kebelakangan ini membabitkan geng kongsi gelap.
“Geng kongsi gelap ini terbabit pelbagai aktiviti jenayah, antaranya pelacuran, dadah dan perjudian. Dengan memiliki senjata api, imej mereka lebih tinggi dan dipandang hebat berbanding geng lain.
“Selain itu, dengan menggunakan senjata api aktiviti mereka seperti menjaga kawasan daripada diganggu kumpulan lain dan memeras ugut bagi mendapatkan wang perlindungan lebih lancar berbanding penggunaan senjata tajam,” katanya.
Ditanya bagaimana senjata api boleh dimiliki penjenayah di negara ini, beliau berkata, lazimnya ia diseludup dari Thailand atau berjaya menembusi kawalan sempadan di Kelantan dan Kedah.
“Faktor sempadan negara yang luas dieksploitasi kumpulan ini bagi menyeludup masuk sebelum dihantar kepada pembeli, namun polis tidak berdiam diri dan sudah menempatkan pegawai dan anggota di lokasi strategik bagi mengekang masalah ini,” katanya.