Tuesday, August 13, 2013

Kontroversi: Tun Abdullah Ahmad Badawi buat penjelasan

Abdullah berkata, jika beliau mengikuti hasrat Mahathir dengan projek-projeknya seperti landasan berkembar RM14.5 bilion, negara ini mungkin akan muflis.

"Boleh kamu bayangkan jika saya mengalah pada Mahathir dengan terus tekanan berterusan untuk berbelanja ketika defisit sudah amat tinggi, bagaimana Malaysia akan mengharungi krisis kewangan dan minyak yang kemudiannya melanda pada 2008.

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan terlibat dalam penulisan, penajaan, penerbitan dan pelancaran buku bertajuk Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia.


Tun Abdullah Ahmad Badawi
Menurut beliau, persetujuannya untuk diwawancara oleh penyusun-penyusun buku tersebut iaitu Prof. James Chin dan Prof. Bridget Welsh adalah berlandaskan kepada prinsip keterbukaan yang menjadi pegangannya.

Sehubungan itu, Abdullah meminta semua pihak tidak membuat andaian kononnya buku itu ditulis beliau yang bersubahat dengan pakatan pembangkang untuk menentang UMNO.

"Ini sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan di dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat.

"Saya tidak pernah meninggalkan UMNO dan insya-Allah, bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir dengan masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia mencetuskan kontroversi selepas beberapa kandungannya dilihat menjurus kepada kritikan terhadap UMNO termasuk menyentuh mengenai hubungan Abdullah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambah Abdullah, pembabitannya dalam wawancara bersama James dan Welsh pada 2011 lebih tertumpu kepada menjawab soalan yang dibangkitkan penulis-penulis yang menyumbang kepada buku berkenaan serta memberi ruang kepada beliau menjelaskan beberapa perkara.

Menurutnya, walaupun dimaklumkan buku itu bakal memuatkan rencana yang kritis dan kurang menyenangkan tentang kepemimpinannya, namun beliau tetap bersetuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.

Beliau berkata, analisis yang dihasilkan ahli akademik tentang sejarah politik negara adalah perkara biasa dan era pentadbirannya juga tidak terlepas daripada kajian ilmiah.

Dalam masa sama, ujarnya, beliau tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab atas mana-mana jemputan untuk membincangkan atau melancarkan buku tersebut.

"Berita yang mengatakan pemimpin daripada parti pembangkang dijemput melancarkan buku ini di Singapura, kalau pun benar, adalah keputusan penerbit buku, bukan saya," katanya.

Selain itu, Abdullah menegaskan, beliau tidak merancang menghadiri pelancaran buku berkenaan kerana tidak mahu orang ramai membuat andaian buku tersebut ditulis atau ditaja beliau.

"Saya cuma menjawab soalan yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca," katanya.