Saturday, August 17, 2013

LAPORAN TERKINI DARI KAHIRAH: Angka korban keganasan terus meningkat

LAPORAN TERKINI DARI KAHIRAH
MENYELAMATKAN YANG CEDERA: Lelaki cedera ini sedang cuba diangkat anggota polis antirusuhan dan tentera selepas pihak berkuasa Mesir ‘membersihkan’ kawasan khemah bantahan penyokong Encik Mursi di dataran Rabaa al-Adawiya di Kahirah, Rabu lalu. – Foto REUTERS
Ribuan penyokong Persaudaraan Islam berhimpun di jalan raya selepas solat Jumaat
KAHIRAH: Angka korban keganasan terus meningkat di Mesir, sedang ribuan penyokong kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) berhimpun di jalan-jalan raya Kahirah dan beberapa kawasan lain negara itu semalam di sebalik perintah darurat yang dikenakan pihak tentera.
Sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan dan seorang pegawai polis dilaporkan terbunuh semalam.
Sumber-sumber pasukan keselamatan mengatakan keempat-empat penunjuk perasaan yang setia kepada bekas presiden yang digulingkan, Encik Mohamed Mursi, telah mati ditembak dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di bandar Ismailia dekat Terusan Suez.


Keganasan juga dilaporkan di kawasan-kawasan lain. dengan seorang pegawai polis dilaporkan terbunuh dalam serangan di pusat pemeriksaan Kahirah.
Beribu-ribu penunjuk perasaan telah keluar daripada masjid-masjid selepas solat Jumaat bagi menyahut seruan kumpulan Ikhwan supaya diadakan "Hari Kemarahan'' ekoran kematian 638 orang penunjuk perasaan dalam pertempuran Rabu lalu - hari paling berdarah di Mesir sejak beberapa dekad lalu.
Pemerintah Mesir telah meluluskan penggunaan kekerasan yang boleh membawa maut ke atas pembantah yang menyerang polis dan institusi-instusi negara, sementara masyarakat antara bangsa menyeru kedua-dua pihak agar menahan diri seberapa boleh demi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.
Serangan balas terbaru ke atas pasukan keselamatan dilakukan oleh pihak pembantah, kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh askar dan seorang anggota polis terbunuh di Semenanjung Sinai, dan seorang lagi anggota polis maut di Assiut, sebuah bandar di bahagian tengah Mesir.
Kritikan daripada masyarakat antarabangsa terus diluahkan dan Majlis Keselamatan PBB telah mengadakan satu mesyuarat tergempar mengenai krisis itu.
Encik Gehad al-Haddad, seorang jurucakap Ikhwan, mengumumkan mengenai perarakan semalam menerusi laman Twitternya.
"Perhimpunan antirampasan kuasa... akan bertolak dari semua masjid di Kahirah dan menuju ke arah Dataran Ramsis selepas solat (Jumaat) dalam acara 'Jumaat penuh Kemarahan'," kata beliau dalam tulisannya.
Cik Laila Moussa, seorang jurcakap bagi Pakatan Islamis Anti-Rampasan Kuasa, sebuah kumpulan yang membantah penggulingan Encik Mursi, berkata protes-protes serupa sedang dirancang di seluruh negara itu.
Beliau berkata mereka yang taat kepada Encik Mursi, termasuk dua bekas anggota parlimen Mesir, telah ditahan dalam satu serangan pada waktu fajar, sebelum bermulanya protes-protes itu.
Kelmarin, kumpulan Tamarod, yang menganjurkan pemberontakan terhadap pemerintahan Encik Mursi, juga menggesa rakyat Mesir supaya berarak di jalanan.
Ia semalam berkata mereka seharusnya keluar berhimpun "untuk menolak pengganasan domestik dan campur tangan asing".
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, pula memberi responsnya terhadap kejadian di Mesir itu dengan mengumumkan pembatalan latihan bersama tentera Amerika-Mesir.
"Sedang kami mahu mengekalkan hubungan dengan Mesir, kerjasama tradisional kami tidak boleh diteruskan seperti biasa apabila orang awam dibunuh di jalan raya dan hak asasi diketepikan," kata beliau.
Namun, pejabat presiden Mesir semalam menjawab bahawa kenyataan Encik Obama itu boleh menggalak tindak balas kumpulan militan. - Agensi.