Saturday, August 17, 2013

Mesir berdarah lagi

Mesir berdarah lagi
CUBA MELARIKAN DIRI: Para penyokong Encik Mohammed Mursi cuba melarikan diri daripada serbuan pasukan keselamatan Mesir yang turut menembak dengan menggunakan peluru hidup ke arah mereka semasa kedua-dua pihak bertempur di daerah Bandar Nasr di Kahirah, kelmarin. - Foto AP

Mesir berdarah lagi

KAHIRAH: Kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) Mesir menggesa para pengikutnya supaya berarak mengadakan bantahan di Kahirah semalam, selepas lebih 500 orang maut akibat tindakan keras yang dijalankan oleh pasukan keselamatan negara tersebut ke atas para penyokong pergerakan Islam itu.
Satu laporan agensi berita AFP memetik kementerian kesihatan Mesir sebagai berkata bahawa kejadian itu telah meragut nyawa 525 orang, termasuk 43 anggota polis.
Ikhwan pula berkata jumlah kematian mungkin lebih tinggi daripada itu.


Apa sekalipun, tindakan pihak berkuasa Mesir untuk mengakhiri bantahan penyokong Encik Mohamed Mursi - presiden pertama Mesir yang dilantik melalui pilihan raya demokratik tetapi digulingkan pada 3 Julai lalu - itu ternyata telah memecah-belahkan rakyat di negara tersebut.
Ia mencetuskan satu lagi pergolakan politik besar-besaran sejak penggulingan bekas presiden autokratiknya, Encik Hosni Mubarak, pada Februari 2011.
Kahirah dan bandar-bandar lain di Mesir, yang digegarkan oleh keganasan yang mengejutkan itu kelmarin, bagaimanapun, kelihatan lebih tenang semalaman.
Ini selepas pemerintah baru yang disokong oleh tentera negara itu mengisytiharkan perintah darurat selama sebulan serta perintah berkurung dari fajar hingga senja di ibu kotanya dan 10 lagi wilayah di negara itu.
Bagaimanapun, sama ada pihak tentera Mesir yang kuat itu dapat menahan kemarahan jutaan penyokong Encik Mursi daripada mengatur langkah bantahan selanjutnya masih belum jelas.
Ia bergantung kepada sejauh mana sambutan rakyat Mesir terhadap gesaan Ikhwan supaya diadakan perarakan di Kahirah sebagai bantahan terhadap kematian menyusuli tindakan keras tentera Mesir terhadap para pembantah pro-Mursi itu.
Para penyokong Encik Mursi bertempur dengan polis dan askar-askar yang menggunakan jentolak, gas pemedih mata dan peluru hidup, dalam usaha pihak berkuasa itu menghentikan dua khemah bantahan di ibu kota Mesir itu kelmarin.
Pertempuran itu merebak dengan cepat sehingga sekitar 500 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera di Kahirah, Iskandariah dan beberapa bandar lain di seluruh Mesir, yang majoriti daripada 84 juta penduduknya adalah penganut Islam.
Ia merupakan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang ketiga ke atas para pembantah propergerakan Islam itu sejak Encik Mursi digulingkan sekitar enam minggu lalu.
Namun, skala pertempuran berdarah itu mengejutkan ramai dan memberi isyarat bahawa pihak tentera semakin mengetatkan cengkamannya terhadap negara itu.
Keputusan untuk memaksa penyuraian para pembantah pro-Mursi itu mengingkari rayuan negara-negara Barat supaya diadakan satu penyelesaian lebih aman melalui rundingan terhadap krisis politik di Mesir itu.
Semalam, beberapa negara Barat yang menjadi sekutu Mesir, termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), dengan lantang mengutuk tindakan terbaru pihak berkuasa Mesir yang disokong tentera itu.
Di Ankara, Perdana Menteri Turkey, Encik Tayyip Erdogan, menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak segera selepas berlakunya apa yang disifatkan beliau sebagai satu pembunuhan beramai-ramai di Mesir.
"Saya menggesa negara-negara Barat. Anda membisu di Gaza, anda terus membisu di Syria... Anda masih lagi membisu terhadap Mesir. Jadi, mengapa anda bercakap tentang demokrasi, kebebasan, nilai-nilai global dan hak asasi manusia?" tegas beliau pada satu sidang akhbar.
Bagaimanapun, Amiriah Arab Bersatu (UAE) - salah satu daripada beberapa negara Arab Teluk yang berasa tergugat terhadap kemenangan pilihan raya Encik Mursi pada tahun lalu - meluahkan sokongannya terhadap tindakan keras pihak berkuasa di Mesir itu.
Dalam satu perkembangan terbaru, pihak berkuasa kehakiman Mesir telah melanjutkan tempoh tahanan Encik Mursi selama 30 hari lagi.
Sementara itu, tapak dua khemah bantahan di Kahirah terus berasap akibat khemah-khemah yang dibakar pihak berkuasa Mesir. - Reuters, AFP.