Wednesday, August 14, 2013

Penapisan maklumat paling ketat di dunia

Arirang
TELEFON BIMBIT BIJAK: Telefon bimbit bijak buatan Korea Utara ini bakal ditawarkan kepada rakyat negara itu untuk kegunaan antara mereka sendiri. - Foto AFP
SEOUL: Korea Utara, salah sebuah negara paling tersisih dan masyarakatnya mengalami penapisan maklumat paling ketat di dunia, semalam mengumumkan telefon bimbit bijak yang dihasilkannya sendiri.
Para pengamat industri bagaimanapun berkata telefon bimbit dengan jenama 'Arirang' itu, yang dihasilkan berdasarkan pada sistem operasi (OS) Android Google, mungkin dibuat di negara jirannya, China.
Penghasilan telefon itu, yang dinamakan mengikut sebuah lagu rakyat Korea, hanya diketahui semasa satu lawatan pemeriksaan ke sebuah kilang oleh pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong-Un, hujung minggu lalu.


Dalam lawatan itu, Encik Kim telah diberikan taklimat terperinci mengenai "prestasi, mutu dan pembungkusan telefon bimbit Arirang", menurut laporan agensi berita rasmi Pyongyang, Korean Central News Agency (KCNA).
Ada juga pengamat yang berpendapat bahawa Arirang bertujuan membolehkan rakyat Korea Utara menggunakan sebuah telefon yang diluluskan secara rasmi, dan yang boleh dikawal dengan betul.
Negara itu pernah diperkenalkan kepada telefon bimbit pada 2008 melalui satu usaha sama dengan sebuah firma telekomunikasi Mesir, Orascom.
Korea Utara juga melancarkan rangkaian Intranet domestiknya pada 2002 dan beberapa agensi pemerintah mempunyai lamannya sendiri.
Para pelangggan satu-satunya penyedia rangkaian telefon bimbit, Koryolink, hanya boleh menghubungi satu sama lain di dalam negara itu. - AFP.