Tuesday, August 27, 2013

Ratusan pakai tudung sebagai tanda sokong

Foujan Rouzbeh
STOCKHOLM: Beratus-ratus wanita Sweden menyiarkan gambar mereka memakai tudung dalam laman media sosial untuk menunjukkan sokongan kepada seorang wanita Islam yang hamil dan diserang di luar bandar ini kerana memakai purdah.
Tindakan itu didorong sebuah pergerakan bukan kerajaan yang mempertahankan pemakaian tudung dan mendapat sokongan ahli politik selebriti.
Para pengkritik mereka bagaimanapun mendakwa perbuatan mereka adalah sokongan terhadap simbol 'penindasan' ke atas wanita.
Ahli politik haluan kiri dan selebriti merupakan antara mereka yang memberi sokongan kepada pergerakan itu, dengan menghantar Tweet diri mereka memakai tudung.
Menjelang Khamis lalu, lebih 2,000 orang menghantar gambar masing-masing dalam laman Instagram, kebanyakannya memaparkan wanita dengan kepercayaan berlainan, memakai purdah.

Di Facebook pula, satu laman acara yang diwujudkan aktivis telah menarik 10,000 pengunjung.
Namun, ia terpaksa dipadamkan selepas bahagian ulasan dipenuhi dengan kenyataan berbaur perkauman dan mencela wanita.
"Kadar jenayah kebencian ke atas wanita Islam semakin meningkat akhir-akhir ini," kata salah seorang penganjur kempen, Cik Foujan Rouzbeh.
Bagaimanapun, pengkritik berkata kempen itu meremehkan penderitaan wanita yang dipaksa atau tertekan supaya menutup rambut mereka di Sweden dan di tempat lain.
"Saya menyokong bantahan ke atas layanan wanita yang diserang," kata Cik Sara Mohammad, ketua sebuah kebajikan untuk mangsa jenayah maruah.
"Bagaimanapun, bukan dengan memakai purdah, yang terkenal di seluruh dunia sebagai simbol Islam untuk penindasan wanita. Ia bukan hanya dipaksa ke atas wanita di Iran dan Arab Saudi, malah menjadi panji untuk politik Islam di Barat," tambah beliau.
Menurut beliau, ahli politik Sweden yang memakai hijab minggu ini jarang memaparkan sokongan sama terhadap mereka yang memperjuangkan hak untuk tidak memakainya.
"Ini adalah satu langkah tidak adil dan populis yang bertujuan menarik undi daripada masyarakat Islam," katanya.
Cik Foujan berkata pihaknya bukan cuba memperkecilkan pengalaman wanita Islam yang dipaksa memakai purdah.
"Kami melakukannya berasaskan wanita berpurdah yang berbuat demikian dengan sukarela. Wanita serupa itu mempunyai hak memakainya tanpa diserang," katanya.
Menurut Majlis Sweden bagi Pencegahan Jenayah, terdapat 306 jenayah kebencian terhadap Islam dilaporkan tahun lalu.
Ini berbanding dengan 278 kes pada tahun sebelumnya dan 272 pada 2008. - AFP.