Saturday, August 17, 2013

Status PR pemilik resort di Sedili Besar ditarik balik

Status PR pemilik resort di Sedili Besar ditarik balik
Status PR pemilik resort di Sedili Besar ditarik balik
Status penduduk tetap (PR) pemilik resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang membenarkan sekumpulan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di surau resort berkenaan, telah ditarik balik dan berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu diambil selepas kementeriannya melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melakukan kajian mendalam terhadap status PR yang diberikan kepada pemilik resort yang berusia 45 tahun dan berasal dari Singapura itu.

"Apa yang telah diputuskan, KDN telah ambil keputusan untuk mencabut semula taraf penduduk tetap kepada orang yang berkenaan.

"Kerana taraf penduduk tetap yang diberi pada beliau hanya sebagai satu kemudahan dan bukan keistimewaan," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Rumah Pengasih di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan pemilik resort berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan semalam dengan jaminan polis.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata lagi, pihaknya telah memaklumkan tentang penarikkan status tersebut kepada pemilik resort berkenaan dan perkara itu dikuat-kuasakan serta merta.

"Ya serta-merta (ditarik balik PR). Kita dah maklumkan pada beliau masa dalam lokap. Dia seorang sahaja yang kena. Keluarga dia tak ada salah apa-apa," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan Allah yang akan diputuskan pada 22 Ogos depan, Ahmad Zahid meminta agar semua umat Islam di negara ini bersatu padu mempertahan penggunaan kalimah Allah tanpa mengira fahaman politik.

"Saya bukan nak mendahului keputusan mahkamah. Tetapi yang penting ialah kalimah Allah perlu dipertahankan.

"Kalimah Allah hanya dan mestilah untuk agama Islam sahaja. Nokhtah!" tegasnya.