Sunday, September 29, 2013

Bangunan perumahan lima tingkat runtuh

BANGUNAN RUNTUH: Kakitangan bomba dan penyelamat giat mencari mangsa yang terselamat apabila sebuah bangunan lima tingkat runtuh di Mumbai, ibu kota kewangan India, pada waktu fajar, semalam. - Foto AFP
MUMBAI: Sebuah bangunan perumahan setinggi lima tingkat di Mumbai roboh pada waktu fajar semalam, menyebabkan tiga orang maut dan puluhan lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhannya.
Ini merupakan kejadian bangunan runtuh terbaru yang berlaku di ibu kota kewangan India itu.
Orang ramai mengelilingi runtuhan bangunan yang kelihatan sudah rata itu, yang dimiliki oleh badan pentadbiran sivik bandar tersebut, Perbadanan Perbandaran Tanah Besar Mumbai (MCGM), di bahagian timur bandar itu.
"Tiga orang maut manakala 11 orang diselamatkan sehingga 12 tengah hari (waktu tempatan)," kata jurucakap MCGM, Encik Vijay Khabale-Patil, kepada agensi berita AFP.
Satu senarai yang disediakan para pegawai di tempat kejadian itu kemudian menunjukkan 27 orang telah diselamatkan dan dibawa ke sebuah hospital berdekatan.

Ahli politik setempat, Encik Bhai Jagtap, berkata sejumlah 22 keluarga tinggal di bangunan yang roboh itu dan tujuh hingga lapan orang telah dapat diselamatkan sehingga pada waktu akhbar ini dicetak.
"Yang lain masih berada di bawah (runtuhan), sambil berteriak meminta tolong. Para penyelamat sedang melakukan yang sebaik mungkin untuk cuba menyelamatkan nyawa mangsa," kata beliau kepada AFP.
Penguasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) India mengesahkan bahawa 22 keluarga mendiami bangunan itu.
MCGM berkata bangunan itu adalah untuk kakitangan sebuah badan pentadbiran sivik setempat dan keluarga mereka, yang pernah diminta supaya keluar dari kediaman mereka pada awal tahun ini tetapi tidak mematuhinya.
Lima bangunan telah runtuh di Mumbai dan kawasan berdekatan dengan bandar itu sejak beberapa bulan lalu, termasuk satu kejadian pada April lalu yang membunuh 74 orang. - AFP.