Sunday, September 22, 2013

Berita Baik Untuk Janda Muda, Mak Janda dan Ibu Tunggal

Jumlah lelaki melebihi wanita di Malaysia
Berita baik untuk MAK JANDA dan ibu tunggal.
Ketahuilah kenapa lelaki suka janda.
SHAH ALAM: Fakta ini mungkin mengakibatkan sebahagian lelaki termenung panjang. Statistik terbaru menunjukkan bilangan lelaki melebihi wanita di negara ini dengan nisbah 106 berbanding 100 (106:100), dedah Pengerusi Pembangunan Sosial Ikram, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Malah menurut beliau, bilangan wanita hanya melebihi lelaki di dua negeri iaitu Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dr Harlina membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kekangan kewangan dan fenomena kahwin lambat dalam kalangan golongan muslim Malaysia’ pada Seminar Maqasid Syariah Kebangsaan anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia, dekat sini, petang semalam.

Beliau menambah, purata jangka hayat kaum lelaki di negara ini adalah di antara 72 hingga 75 tahun manakala bagi perempuan 76 tahun.

Menyentuh tentang isu kahwin lambat di kalangan muslim di negara ini, beliau berkata 2.5 juta rakyat Malaysia berumur 25 tahun ke atas (16.7 peratus) tidak berkahwin di atas beberapa sebab.


Peringatan untuk mak janda dan ibu tunggal; kenapa kena kawin lagi? Baca di sini.


Antara faktor penyumbang fenomena ini adalah masalah kewangan, tiada calon sesuai, kemajuan kerjaya, selesa hidup membujang dan komitmen kepada keluarga.

Berdasarkan pecahan gender, 44.7 peratus lelaki tidak berkahwin ekoran masalah kewangan berbanding wanita (14 peratus), tiada calon sesuai (19.3 peratus lelaki, 40 peratus perempuan), kemajuan kerjaya (12.8 peratus lelaki dan 8.4 peratus perempuan), selesa hidup membujang (8.4 peratus perempuan) dan komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus bagi lelaki dan wanita).

Pensyarah Fakulti Perubatan UKM itu juga melahirkan kegusaran terhadap trend perbelanjaan tinggi bagi melangsungkan perkahwinan yang menjadi punca utama kahwin lambat di kalangan remaja muslim.

Pakej lengkap perkahwinan biasa kini mencecah RM25,500 merangkumi khidmat katering (penyediaan makanan), andaman dan fotografi.

“Malah ada laman portal yang mengkategorikan belanja perkahwinan kepada tiga iaitu RM11,000 bagi kos rendah, RM20,800 bagi kos sederhana dan RM50,000 bagi kos tinggi,” ujarnya.

Fenomena kahwin lambat, jelas Dr Harlina boleh mengakibat penurunan kadar kesuburan di kalangan pasangan yang berkahwin memandangkan puncak ‘kesuburan wanita’ adalah pada umur 25 tahun dan menurun secara berkadaran selepas itu.

Daripada kajian yang dibuat, 30 peratus masalah kesuburan terletak kepada wanita, 30 peratus kepada lelaki, 30 peratus kepada pasangan lelaki dan wanita manakala 10 peratus lagi tidak diketahui punca.

“Orang lelaki yang merokok paling berisiko mandul kerana ia menjejaskan kesuburan sperma,” katanya disambut reaksi bercampur peserta seminar.

Kahwin lambat juga, tambah Naib Ketua Wanita Ikram itu menyumbang kepada gejala sosial seperti zina.

Statistik menunjukkan dari tahun 2007 hingga 2009, terdapat 17,303 anak tidak sah taraf berbangsa Melayu didaftarkan di negara ini.

Bagi mengatasi masalah kahwin lambat, Dr Harlina mencadangkan kempen dilaksanakan bagi menggalakkan remaja untuk berkahwin seperti firman Allah dalam ayat ke-32 Surah An-Nur.

Ibu bapa juga, tambah beliau perlu berperanan membantu anak-anak untuk melangsung perkahwinan (seperti mengurangkan kos hantaran perkahwinan) di samping insentif kewangan diberikan kepada pasangan muda yang berkahwin buat kali pertama oleh kerajaan dan institusi Islam.

“Majlis perkahwinan beramai-ramai juga boleh dilaksanakan seperti dilanjurkan Ikram Kajang baru-baru ini ,” saran beliau.