Thursday, September 12, 2013

Fahmi Fadzil ganti Nik Nazmi

KUALA LUMPUR 12 SEPTEMBER: Fahmi Fadzil, Setiausaha Politik kepada Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai Pengarah Komunikasi parti itu bagi menggantikan penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Lantikan tersebut berkuat kuasa mulai semalam. Perkara itu dinyatakan dalam twitter KEADILAN.
Fahmi berkata, beliau nekad memastikan kepercayaan yang diberikan akan dilaksana sebaik mungkin.
“Alhamdulillah saya bersyukur di atas lantikan ini. Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang berat.
“Namun saya percaya berbekalkan doa, semangat reformasi dan sokongan teman-teman seperjuangan, Insya-Allah matlamat membina sebuah Malaysia yang lebih baik serta adil buat semua anak watan bakal menjadi realiti satu hari nanti,” katanya dipetik portal media.

Sementara itu, Nik Nazmi menerusi twitternya turut mengucapkan tahniah atas lantikan itu.
“Tahniah atas lantikan sebagai Pengarah Komunikasi yang baru.
“Saya akan bantu apa yang perlu Insya-Allah,” katanya.
Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia dipilih menggalas jawatan tersebut bermula 16 Ogos 2010.
Fahmi juga merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Wilayah Persekutuan.