Friday, September 13, 2013

Jemaah haji diingat: Mereka yang membazir diumpamakan sebagai sahabat syaitan

Mereka yang membazir diumpamakan sebagai sahabat syaitan
MADINAH - Lebih 5,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Madinah dan sedang membuat persiapan untuk menunaikan haji pada 14 Oktober depan.

Tabung Haji menggalakkan jemaah haji berkenaan untuk beribadat dan menghadiri kuliah haji sebagai ulangkaji pengetahuan hukum-hakam rukun Islam kelima itu.

Sehubungan itu, jemaah haji Malaysia diingatkan agar tidak terlalu ghairah berbelanja dan membeli-belah sehingga boleh menjejaskan fokus untuk beribadat.

Pegawai Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Tabung Haji Roslan Hussain berkata terdapat juga jemaah haji Malaysia begitu sibuk membeli-belah walaupun telah masuk waktu solat dan perbuatan itu menunjukkan mereka tidak memanfaatkan masa yang singkat di Madinah untuk lebih beribadat.

"Pengamatan saya ketika bertugas di Madinah ini...jemaah seolah-olah tersasar sedikit daripada apa yang sepatutnya dilakukan dalam masa yang begitu terhad.

"Sepatutnya difokuskan kepada ibadah di Masjid Nabawi dengan solat dan iktikaf...tidak terlalu ghairah shopping terutamanya saat masuk waktu solat...masa yang berlalu amat merugikan kerana bagi yang tidak dapat datang lagi peluang beribadat di dalam masjid Nabawi berlalu begitu sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata apa yang lebih membimbangkan ialah berlakunya pembaziran kerana berbelanja berlebih-lebih sedangkan dalam Islam pembaziran adalah satu dosa dan mereka yang membazir diumpamakan sebagai sahabat syaitan.