Saturday, September 7, 2013

Krisis Syria: PBB tidak sokong tindakan kententeraan

krisis Syria
SAINT PETERSBURG (Russia): Kuasa-kuasa dunia semalam berbincang mengenai krisis Syria pada majlis makan malam sidang puncak Kumpulan 20 (G20) tetapi gagal merapat jurang perbezaan pandangan berhubung rancangan Amerika Syarikat untuk mengadakan tindakan ketenteraan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad.
Sedang ketegangan berhubung dengan konflik di Syria itu semakin mengancam jadual kerja sidang puncak G20 itu di luar Saint Petersburg, pengerusi sidang, Encik Vladimir Putin, membuat pengumuman pada detik-detik terakhir untuk membenarkan para peserta menyuarakan pandangan mereka pada majlis makan malam itu.
Para pemimpin kemudian mengambil giliran sepanjang majlis tiga jam itu untuk menyuarakan pendirian mereka mengenai isu tersebut dalam ucapan selama 10 minit setiap seorang, kata sumber diplomatik yang rapat dengan sidang itu kepada agensi berita AFP.
"G20 baru sahaja selesaikan sesi makan malamnya yang mengesahkan adanya perbezaan pandangan mengenai Syria," kata Perdana Menteri Italy, Encik Enrico Letta, yang menghadiri majlis makan malam itu melalui laman Twitter rasminya.
Russia mendahului barisan negara yang menentang rancangan tindakan tentera pimpinan Amerika terhadap rejim Encik Assad, yang didakwa menggunakan senjata kimia dalam satu serangan di Damsyik pada 21 Ogos lalu, yang mana Washington mendakwa dilakukan oleh pihak Damsyik.
Di New York, utusan Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Russia menjadikan Majlis Keselamatan PBB sebagai tebusan.

Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, berkata London mempunyai bukti terbaru mengenai penggunaan senjata kimia itu.
Dalam usahanya untuk mencapai penyelesaian secara aman terhadap isu Syria itu, PBB mengumumkan bahawa utusan khasnya, Encik Lakhdar Brahimi, akan menghadiri mesyuarat-mesyuarat pada sidang puncak selama dua hari itu untuk menggalak diadakan rundingan secara aman.
"Kita harus ingat: setiap hari yang kita luangkan adalah satu hari yang mana orang awam tidak berdosa akan mati," kata PBB, sambil memetik Setiausaha Agungnya, Encik Ban Ki Moon, kepada para pemimpin G20 pada majlis makan malam itu.
"Membekalkan lebih banyak senjata kepada kedua-dua pihak bukan jawapannya. Tidak ada penyelesaian ketenteraan," kata Encik Ban.
Beliau juga mengingatkan para pemimpin mengenai beban kemanusiaan krisis itu kepada negara-negara jiran Syria seperti Lebanon, Jordan, Iraq dan Turkey, sambil memuji kemurahan hati negara-negara itu kerana mahu menerima para pelarian Syria.
Seorang sumber diplomatik Perancis berkata majlis makan malam tertutup itu tidak bertujuan untuk mencapai satu persetujuan. - AFP.