Thursday, September 19, 2013

Mukhriz 'kacau' rancangan Najib

Mukhriz Mahathir
KUALA LUMPUR: Rancangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu terus mengekalkan barisan naib presiden parti itu - Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein - nampaknya terganggu sedikit.
Ini selepas adanya jangkaan hampir pasti bahawa Datuk Mukhriz Mahathir mungkin mahu merebut jawatan tersebut daripada salah seorang penjawatnya sekarang.
Sumber rapat kepada anak lelaki mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini Menteri Besar Kedah, itu memberitahu sebuah portal berita setempat, The Malaysian Insider (TMI), bahawa Datuk Mukhriz mengadakan pertemuan dengan ketua Umno di Kedah malam tadi, dan dijangka mengumumkan hasratnya itu sejurus selepas pertemuan tersebut.
Sejak beberapa minggu lalu, para blogger pro-Mahathir kerap menulis mengenai peluang Datuk Mukhriz memenangi salah satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno itu.
Namun, para pengamat politik berkata jika rancangan Datuk Mukhriz itu menjadi kenyataan, ia juga bermakna salah seorang daripada naib presiden Umno sekarang mungkin kehilangan antara jawatan tertinggi dalam parti itu.
Dalam hal ini, sebahagian besar daripada mereka menuding ke arah Datuk Seri Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan Malaysia dan sepupu Datuk Seri Najib.
Datuk Mukhriz, 48 tahun, dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Para blogger pro-Umno pula berpendapat beliau seharusnya merebut peluang mendapatkan jawatan naib presiden parti itu untuk mengekalkan statusnya sebagai seorang pemimpin kanan Umno.
Sebelum ini, beberapa pencabar lain yang turut menyuarakan hasrat mereka mahu merebut jawatan itu termasuk Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dan mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.
Para pengamat melihat langkah Dr Mahathir menulis dalam ruangan rencana akhbar Utusan Malaysia mengenai keperluan Umno mengadakan pembaharuan dengan menyertakan lebih ramai pemimpin muda dalam pucuk kepimpinan parti itu sebagai "usulan" kepada para pemimpin veteran Umno agar menyokong penyertaan Datuk Mukhriz.
Penamaan calon bagi pemilihan pemimpin Umno ditetapkan pada 28 September ini, sementara pemilihan pemimpinnya akan diadakan pada 19 Oktober.
Perhimpunan agung Umno pula dijadualkan pada Disember ini.