Monday, September 9, 2013

Pemilihan Umno di peringkat bahagian dijangka sengit

Pemilihan Umno di peringkat bahagian dijangka sengit
Pemilihan Umno di peringkat bahagian Umno di Kelantan dijangka sengit kali ini, ekoran peningkatan penguasaan parti berkenaan di negeri tersebut dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Jawatan ketua bahagian dijangka dipertandingkan di kesemua 14 bahagian, kecuali dua – di Jeli (diketuai menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan Ketereh (dipimpin pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa), lapor Berita Harian.

Antara muka baru yang menjadi tumpuan ialah Datuk Bazlan Baharuddin, ketua pemuda bahagian Gua Musang yang disebut-sebut sebagai pencabar bagi putera raja Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah di bahagian Gua Musang.

Turut menjadi tumpuan ialah bahagian Rantau Panjang, lapor akhbar tersebut yang menyebut jangkaan bahawa penyandang, Datuk Abdullah Mat Yasim bakal ditentang oleh beberapa orang anggota jawatankuasa bahagian lain.

Pemilihan kali ini juga dijangka akan menyaksikan kemunculan semula beberapa orang muka lama seperti bahagian Machang, di mana bekas MP kawasan berkenaan Datuk Sazmi Miah dikatakan akan mencabar kedudukan ketua bahagian, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ketua bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat pula dikatakan akan dicabar bekas calon untuk kawasan parlimen tersebut, Johan Che Pa, yang menarik dri dari pertandingan pilihan raya 5 Mei.

Di Pasir Puteh, bekas ketua bahagian dijangka mencabar penyandang jawatan tersebut, Datuk Zawawi Othman.

Bekas ketua penerangan Umno negeri Datuk Supardi Md Noor pula dikatakan akan mencabar ketua bahagian Umno Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.