Wednesday, September 25, 2013

Pistol jenama Beretta dan Smith and Wesson untuk dijual, RM2,000 sahaja

Pistol jenama Beretta dan Smith and Wesson untuk dijual, RM2,000 sahaja
DANOK (Thailand): Hanya dengan wang tunai RM150 sahaja seseorang dapat menyeludup masuk senjata api dari Thailand ke Malaysia.
Akhbar The New Straits Times (NST), semalam melaporkan bahawa walaupun pemeriksaan di sempadan kedua-dua negara itu semakin ketat ekoran jenayah menggunakan senjata api yang meningkat, tidak sukar untuk menyeludup masuk barangan, termasuk senjata api ke Malaysia.
Akhbar itu melaporkan bahawa seseorang hanya perlu memandu ke seberang sempadan dan tanpa perlu bersusah payah akan dapat menemui kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan daripada senjata renjat, senapang angin, pistol semiautomatik, revolver dan senapang.
Senjata tiruan itu yang menggunakan jenama senjata api terkenal seperti Beretta, Smith and Wesson, Glock, Norinco, Colt, Walther dan Taurus, kelihatan seperti yang asli dan boleh dibeli dengan harga antara RM30 dengan RM2,000.
Senjata sedemikian, yang sering dipanggil pistol tembak cicak, boleh dibeli di kedai-kedai.
Seorang penjual warga Thai memberitahu NST bahawa beliau telah menjual banyak senjata api serupa kepada warga Malaysia sejak bertahun-tahun.
"Mereka beli untuk suka-suka. Paling tidak, pihak kastam akan merampas senjata itu jika ia ditemui semasa pemeriksaan. Tetapi biasanya, mereka lepaskan sahaja dengan memberi amaran," katanya.
Tambahnya, senjata asli juga mudah didapatkan sambil menawarkan untuk mendapatkan senjata itu untuk wartawan NST.
"Tiada masalah. Adakah anda berminat?" soal lelaki itu, yang mengakui mempunyai apa sahaja model yang diinginkan.
Menurutnya, senjata api yang dibeli termasuk beberapa butir peluru supaya ia "sedia untuk digunakan".
Lelaki itu turut memberitahu bahawa khidmat penghantaran juga disediakan bagi mereka yang takut untuk membawa masuk sendiri senjata itu.

"Hanya perlu tambah RM150 dan senjata api akan dikirimkan ke seberang sempadan. Tempat biasa untuk mengambilnya ialah sebuah masjid tidak jauh daripada pusat pemeriksaan," katanya sambil mengatakan bahawa pembeli harus membuat bayaran penuh terlebih dahulu bagi senjata api, peluru dan khidmat penghantaran.
Tambah lelaki Thai itu lagi, walaupun pihak berkuasa Malaysia telah mengetatkan proses pemeriksaan, tetapi pedagang senjata api akan sentiasa cuba mencari jalan untuk menyeludup barangan mereka.- NST.