Saturday, September 7, 2013

Sekali bah, sekali jalan berubah...

Sekali bah, sekali jalan berubah...
HAMPIR TENGGELAM: Hujan lebat yang turun pagi semalam menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di Thomson Road. - Foto INTERNET
HUJAN lebat pagi semalam menyebabkan banjir kilat dan kesesakan jalan raya di beberapa kawasan di serata pulau ini.
Sebatang pokok besar yang tumbang dipercayai akibat hujan lebat telah menghempap dua kenderaan di Dunearn Road dan mengakibatkan kesesakan di kawasan itu.
Menurut PUB, hujan lebat turun di kawasan barat dan tengah Singapura antara 8.15 dengan 9.30 pagi semalam.
PUB berkata banjir dilaporkan berlaku di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE), Cuscaden Road, Maxwell Road dan Lorong Kismis.
Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Alexandra Road, dekat simpang Delta Road, dan Commonwealth Avenue/Commonwealth Drive, berhampiran stesen MRT Commonwealth. Namun banjir di situ surut pada 9.48 pagi.
Kawasan paling teruk terjejas akibat banjir kilat, menurut PUB, ialah di AYE dan Commonwealth Avenue.

Di AYE, air melimpah keluar dari longkang akibat hujan lebat dan air pasang.
Air mencecah ke paras setengah meter dan surut dalam masa 40 minit.
Kesemua empat laluan AYE menghala ke East Coast Parkway (ECP) terpaksa ditutup disebabkan banjir.
Di Dunearn Road pula, pokok yang tumbang merentangi dua laluan jalan raya di situ. Mujur tiada yang cedera dalam kejadian itu.
Pokok tersebut menghempap dan menyebabkan bahagian luar sebuah kereta Jaguar remuk.
Pemandu kereta itu, seorang pesara yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Encik Seah, memberitahu akhbar The Straits Times: "Saya sedang dalam perjalanan pulang apabila terdengar bunyi kuat. Mujur saya tidak mengalami serangan jantung."
Beliau baru sahaja menghantar anaknya ke Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang.
Sebuah lagi kereta yang dihempap pokok remuk di bahagian atasnya.
Pemandunya, yang dikenali sebagai Cik Loh, sedang dalam perjalanan menghantar anaknya ke Institusi Hwa Chong.
Orang ramai boleh melaporkan banjir atau mendapatkan maklumat mengenai keadaan banjir menerusi talian 1800-284- 6600, laman Internet www.pub.gov.sg atau aplikasi iPhone