Thursday, September 26, 2013

Selat Melaka kini sarang lanun paling bahaya

Selat Melaka kini sarang lanun paling bahaya
PETALING JAYA: Kawasan perairan dekat Somalia pernah dianggap sebagai laluan laut paling berbahaya di dunia tetapi gelaran itu kini berpindah ke sebuah lokasi perairan lebih hampir di Asia Tenggara.
Sarang lanun paling berbahaya kini terletak di perairan berhampiran Johor dan Melaka - di Selat Melaka, Malaysia - mengatasi kedudukan Somalia, menurut satu laporan Biro Maritim Antarabangsa (IMB).
Laporan itu menyebut bertambahnya kegiatan lanun di Indonesia, khususnya di Tanjung Priok, Dumai, Belawan, Taboneo dan Muara Jawa, yang kini ditandakan sebagai kawasan perairan 'panas' di dunia, menurut satu laporan akhbar The Star semalam.
Walaupun Selat Melaka masih dianggap selamat sebagai laluan perkapalan antarabangsa, badan itu memberi amaran kepada pelaut agar mengambil langkah berjaga-jaga apabila berulang-alik antara Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Kebimbangan utama ialah meningkatnya jumlah serangan di perairan Indonesia, iaitu perjalanan yang memakan masa antara 45 minit dengan dua jam melalui laut dari Melaka dan Johor.

Dengan jumlah pulau kecil yang banyak dan muara sungai yang diliputi hutan bakau, kawasan pantai Indonesia sesuai untuk lanun bersembunyi dan mengelak daripada ditangkap.
Kumpulan lanun yang beroperasi di perairan Indonesia menggunakan senjata api, pisau dan parang.
Daripada sejumlah 138 insiden lanun yang dicatatkan di seluruh dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 48 adalah di Indonesia, lapor IMB.
Walaupun sindiket pelanunan global mencatatkan trend kemerosotan dengan ketara - iaitu turun daripada 439 kes pada 2011 - kegiatan lanun di Indonesia bagaimanapun menunjukkan kenaikan.
Menurut IMB, kes rompakan yang berlaku di Selat Melaka dilaporkan semakin berkurangan berikutan langkah rondaan agresif oleh negara-negara pesisir.
Ketua Unit Laporan IMB, Encik Noel Choong dipetik The Star sebagai berkata bahawa usaha memantau kegiatan laut di Indonesia oleh agensi penguatkuasaannya berjaya menghalang kes daripada merebak.
Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada agensi yang bertanggungjawab di Indonesia supaya mengambil tindakan agar krisis itu tidak merebak.
"Walaupun kes yang dilaporkan adalah kecurian kecil, namun ia membahayakan pelaut," katanya.