Tuesday, September 10, 2013

Serangan tentera boleh sebabkan ramai rakyat Syria jadi pelarian

sergei lavrov Walid al-Muallem
MOSCOW: Serangan ketenteraan terhadap Syria menimbulkan risiko "tercetusnya pengganasan'' di rantau itu dan akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara itu menjadi pelarian, kata Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov selepas bertemu dengan rakan sejawatannya dari Syria semalam.
"Kemungkinan bagi huraian politik masih ada," kata Encik Lavrov setelah bertemu dengan Menteri Luar Syria, Encik Walid al-Muallem, sambil menukil rakan sejawatannya sebagai berkata bahawa Damsyik masih "sedia untuk rundingan damai".
Dalam pertemuan itu, Encik Muallem telah menyampaikan rasa terima kasih peribadi Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, kepada rakan sejawatannya dari Russia, Encik Vladimir Putin, atas sokongan beliau.
Encik Muallem berada di Moscow bagi siri rundingan di tengah-tengah meningkatnya jangkaan bahawa tindakan ketenteraan akan dilaksanakan terhadap rejim Encik Assad.
"Presiden meminta saya menyampaikan rasa terima kasih beliau kepada Encik Putin kerana pendiriannya semasa dan selepas sidang puncak G20 di Saint Petersburg minggu lalu,'' kata Encik Muallem kepada Encik Lavrov di awal rundingan.

Encik Lavrov memberi jaminan kepada Encik Muallem bahawa pendirian Moscow tentang isu Syria "diketahui ramai dan tidak mungkin berubah".
"Tiada pilihan selain huraian damai berhubung krisis di Syria," kata Encik Lavrov, sambil menolak "huraian tentera yang melibatkan campur tangan asing".
Russia telah menentang keras rancangan Amerika melaksanakan tindakan ketenteraan terhadap rejim Encik Assad, sambil memberi amaran ia mungkin menggoncang kestabilan seluruh rantau Timur Tengah.
Malah, semasa sidang puncak G20, Encik Putin berikrar membantu Syria jika ia diserang.
Moscow juga telah menyatakan ia tidak yakin bahawa rejim Encik Assad bertanggungjawab atas serangan senjata kimia di Damsyik pada 21 Ogos lalu.
Encik Putin telah mengadakan pertemuan tidak dirancang dengan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, di samping sidang puncak G20 tetapi kemudian berkata mereka gagal mengurangkan jurang perbezaan pendapat antara mereka.
"Beliau (Encik Obama) tidak bersetuju dengan hujah saya. Saya juga tidak bersetuju dengan hujah beliau," kata Encik Putin.
Amerika dan sekutunya percaya serangan senjata kimia itu dilakukan pemerintah Syria dan menuntut balasan.
Encik Muallem memberitahu Encik Lavrov bahawa campur tangan Amerika mungkin merosakkan percubaan mengadakan sidang damai di Geneva bagi menghentikan pertumpahan darah di negara itu. - AFP.