Friday, September 20, 2013

Tun Dr Mahathir Mohamad tahu mengenai Projek IC di Sabah

Datuk Seri Anwar, berkata Dr Mahathir tidak patut dipersalahkan sepenuhnya atas apa yang berlaku dalam skandal pemberian kad pengenalan untuk warga asing di Sabah kerana penggantinya, Tun Abdullah Badawi, dan Datuk Seri Najib Tun Razak, juga patut dipersalahkan.
KOTA KINABALU: Tidak munasabah jika Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu mengenai Projek IC di Sabah kecuali beliau tidak bertanggungjawab atau tidak cekap, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi keterangan di hadapan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah, semalam.
Menurut Datuk Seri Anwar, sebagai Perdana Menteri ketika projek itu berlangsung, Dr Mahathir sepatutnya bertanggungjawab terhadap skandal itu, lapor laman berita The Malaysian Insider.
Kata Datuk Seri Anwar, beliau tidak pernah mendengar mengenai Projek IC ketika dalam Kabinet dari 1982 hingga 1998.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan pegawai RCI, Encik Manoj Kurup, sama ada beliau tahu atau tidak mengenai projek itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau mendengar mengenai kewujudan satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk memasukkan pendatang asing sebagai rakyat Malaysia.
"Antara 1993 dengan 1998, ketika saya timbalan perdana menteri, saya tidak pernah diundang dalam mana-mana mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya ada mendengar satu pasukan khas ditubuhkan oleh MKN pada 1989 tetapi tidak mendapat maklumat lanjut," katanya di hadapan panel lima anggota RCI yang diketuai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Malah, katanya, semasa menjadi pemangku perdana menteri selama dua bulan, beliau tidak pernah diberikan penerangan oleh Ketua Pengarah MKN atau diminta menandatangani apa-apa fail berkaitan dengan MKN.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa kepada pemberita di Kuala Lumpur, bekas timbalannya itu pasti tahu jika pengeluaran kad pengenalan palsu di Sabah dibuat secara rasmi oleh kerajaan.
Tanpa menamakan Datuk Seri Anwar, mantan perdana menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia, berkata pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu seharusnya mengetahui kejadian yang berlaku di Sabah.
"Jika ia polisi kerajaan, kenapa dia tidak berhentikan? Adakah dia akan menipu di suruhanjaya dan mengatakan saya yang arahkan? Dia mesti tahu, kerana dia timbalan saya," kata Dr Mahathir merujuk kepada RCI itu.
Dalam pada itu, ketika soal jawab, Datuk Seri Anwar, berkata Dr Mahathir tidak patut dipersalahkan sepenuhnya atas apa yang berlaku dalam skandal pemberian kad pengenalan untuk warga asing di Sabah kerana penggantinya, Tun Abdullah Badawi, dan Datuk Seri Najib Tun Razak, juga patut dipersalahkan.
Beliau mendakwa pegawai kerajaan di Selayang dan Sepang yang mendaftar pendatang asing juga mengeluarkan kad pengenalan untuk mereka.

Mak Siti, apa pasal dari dulu tak mau cerita?