Wednesday, September 18, 2013

Umno dah tua dan bakal mati

Tun Mahathir. Foto BLOOMBERG
KUALA LUMPUR: Ramalan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa Umno "sudah tua dan bakal mati" dibidas oleh beberapa pemimpin parti itu, yang sekali gus menolak kenyataan yang dibuatnya dalam satu rencana akhbar Utusan Malaysia, kelmarin.
Para pemimpin Umno itu berkata Dr Mahathir seharusnya sedar bahawa Umno kini dalam proses transformasi dan pembaharuan.
Salah seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, melihat isu yang dilontarkan Dr Mahathir itu sudah berlaku pada zaman mantan perdana menteri itu menjadi Presiden Umno dari 1981 hingga 2003.
"Umno wujud dari dahulu lagi dan terpalit dengan pelbagai masalah sejak Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan itu," kata Dr Mohd Puad kepada portal berita The Malaysian Insider.
Menurutnya, antara gejala dalam Umno adalah perpecahan, masalah tidak meletakkan keutamaan kepada parti dan isu 'politik wang'.
Beliau berkata kenyataan Dr Mahathir bahawa Umno akan mati tidak boleh diterima kerana para pemimpin parti tersebut kini gigih berusaha merawat beberapa kepincangan yang berlaku dalam parti itu.
"Selagi Umno tidak lari daripada masalah dan memegang prinsip kesederhanaan, menyeluruh dan keadilan untuk semua kaum, Umno akan selamat," kata Dr Mohd Puad.
Dalam rencana terbitan Utusan Malaysia itu - sebuah akhbar yang dimiliki Umno - Dr Mahathir memberi nasihat kepada ahli Umno supaya melantik pemimpin muda kerana parti tersebut sedang mengalami "sakit tua" dan "bakal mati".


Beliau berkata dengan adanya pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasinya memerintah Malaysia, walaupun ada sesetengah pihak memandang serong dan menuduh beliau membuat agendanya sendiri.
Dalam rencananya itu, Dr Mahathir menegaskan bahawa Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa, termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.
Turut memberikan reaksinya, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi Kinabatangan dan salah seorang ahli MT Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin, berkata pemimpin muda, seperti Datuk Mukhriz Mahathir, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa lagi yang diketengahkan Umno adalah bukti bahawa parti tersebut telah menonjolkan bakat muda dalam kepimpinannya.
"Prinsip parti jelas meletakkan bakat muda dalam enjin kedua parti, iaitu di sayap Pemuda dan Puteri. Apabila mereka mencecah usia 40 tahun, mereka akan diserap ke dalam Majlis Tertinggi bagi mewarisi kepimpinan parti.
"Dr Mahathir mungkin silap. Saya sendiri hormat dan menjadikan dirinya sebagai idola. Bagi saya, beliau terlepas pandang dengan pembaharuan yang dilakukan dalam parti," jelas beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga ahli MT Umno, menyifatkan usulan Dr Mahathir itu sebagai satu pandangan beliau untuk melihat berlakunya perubahan dalam Umno secara terbuka dan dinamik.
Menurutnya, Dr Mahathir berpengalaman dan berpandangan luas, tetapi beliau harus sedar bahawa Umno kini dalam proses transformasi.