Sunday, October 13, 2013

10 warga tua maut dalam kebakaran hospital

RENTUNG: Beginilah keadaan tingkat satu bangunan hospital ortopedik di Fukuoka yang hangus dijilat api awal pagi semalam. - Foto AP
TOKYO: Kebakaran di sebuah hospital di Jepun ketika pesakit tidur membunuh 10 warga tua semalam dan menyebabkan kerajaan menuntut agar semakan keselamatan diadakan di seluruh negara.
Kebakaran yang berlaku pada 2.20 pagi itu turut menyebabkan lima orang cedera, kata pihak polis, dengan agensi pengurusan api dan bencana menyatakan empat daripada mereka mengalami kecederaan serius.
Rakaman video yang disiarkan NHK menunjukkan ahli bomba mengelilingi hospital di bandar Fukuoka itu sedang asap berkepul-kepul dari pintu depan bangunan yang hampir terbakar keseluruhannya.
"Kami telah mengesahkan kematian 10 orang - lapan pesakit dan dua kakitangan hospital," kata jurucakap polis.
Menurut polis, dua kakitangan hospital yang terkorban merupakan mantan pengarah hospital dan isterinya.
Kesemua mangsa berusia antara 70 tahun dengan 89 tahun.

Kebakaran berlaku sekitar dua jam di hospital empat tingkat yang dibuka sebagai hospital ortopedik pada 1970.
Kakitangan hospital tinggal di tingkat atas bangunan, kata seorang pegawai bomba.
"Kami telah lakukan sebaik mungkin memadamkan api... tetapi keadaannya sukar, kata seorang pegawai bomba semasa sidang media yang diatur secara tergesa-gesa.
"Kami menerima berita tentang kebakaran setelah api terlalu marak dan tiada usaha ( kakitangan hospital) cuba memadamkan api di awal kebakaran.
"Pesakit di tingkat dua dan tiga juga terdedah kepada asap tebal kerana pintu pengadang asap yang sepatutnya mengurangkan asap keluar asap dibiarkan terbuka," kata pegawai itu lagi.
Tambahnya, pihak bomba akan mula menyiasat punca kebakaran.
Beberapa jam setelah tragedi itu, agensi pengurusan api dan bencana Jepun mengeluarkan panduan pentadbiran kepada ibu pejabat bomba di seluruh negara.
Panduan itu meminta pegawai bomba memeriksa hospital untuk memastikan mereka sedia menghadapi kemungkinan berlakunya kebakaran pada waktu malam.
Agensi itu turut menghantar tujuh pegawai ke tapak kebakaran untuk menyiasat punca kejadian, kata jurucakap agensi itu. - AFP.