Sunday, October 20, 2013

Anwar Ibrahim: Tokoh Politik, Pemimpin Gerakan Islam, Pemangkin Reformasi

Anwar Ibrahim: Tokoh Politik, Pemimpin Gerakan Islam, Pemangkin Reformasi
Anwar Ibrahim bukan hanya seorang tokoh politik yang disegani, beliau juga adalah pemimpin gerakan Islam yang disanjungi oleh masyarakat dunia dan Anwar jugalah insan yang menjadi pemangkin kepada gerakan reformasi yang memperjuangkan hak dan kedaulatan rakyat marhaen.
Anwar menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Abu Bakar Assidiq, Adelaide di Australia

ADELAIDE (AUSTRALIA) 19 OKT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan oleh Persatuan Islam Australia Selatan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Abu Bakar Assidiq, Adelaide di Australia semalam.

Masjid itu yang terletak di 52-54 Wandana Avenue Gilles Plain antara pusat komuniti Muslim paling aktif di ibu negeri selatan Australia itu.

Ini merupakan pengiktirafan yang jarang diberikan oleh pegawai masjid kepada pemimpin luar negara.

Khutbah dengan tajuk Kebangkitan Dunia Islam, Peranan Minoriti Muslim dalam masyarakat Barat disampaikan Anwar dalam Bahasa Inggeris.

Dalam lawatannya, Anwar dijemput menjadi panel pada forum di Festival Idea, Perbezaan Pendapat dan Demokrasi yang berlangsung di Dewan Universiti Adelaide hari ini.

Dewan Universiti dipenuhi hadirin.
Usaha Kerajaan Malaysia menghalang mahasiswa Malaysia menyertai program dihadiri Anwar itu gagal apabila penuntut dan rakyat Malaysia serta masyarakat tempatan beramai-ramai beratur panjang untuk mendengar ucapannya.

Orang ramai berasak-asak bersalaman dengan Anwar.
Malah, sekumpulan pelajar Malaysia mengadakan bantahan terhadap arahan Kerajaan Persekutuan Malaysia yang melarang mereka menghadiri program tersebut.

Mengikut agensi berita Australian Broadcasting Corporation (ABC), hampir sedozen pelajar berhimpun sambil memakai topeng dan memegang sepanduk tanda bantahan larangan itu.

Anwar bertemu penuntut Malaysia yang mengadakan bantahan terhadap larangan Kerajaan Malaysia.
Kerajaan Rakyat 15 Oktober lalu mendedahkan amaran pegawai penasihat pelajar di Jabatan Penuntut Malaysia, Sharezan Md Sheriff yang diemel kepada mahasiswa Malaysia di Australia khasnya pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar ‘menjauhkan diri’ dari menghadiri sesi awam bersama Anwar.

Selepas forum, Anwar dijadual akan menghadiri program sembang santai, # Meet Anwar di Watson Avenue, Rose Park, South Australia atas anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dengan kerjasama Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Adelaide.