Saturday, October 5, 2013

ASKAR Singapura mempertingkat latihan kemahiran menembak

MEMPERTAJAM KEMAHIRAN: Pembukaan Kompleks Padang Menembak Pelbagai Misi akan dapat membantu askar pertempuran mempertingkat latihan kemahiran menembak mereka sehingga 60 peratus.
ASKAR-ASKAR Singapura kini boleh meluangkan lebih banyak masa menajamkan kemahiran menembak mereka menyusuli pembukaan padang menembak dalam bangunan terbaru Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dirasmikan semalam.
Kompleks Padang Menembak Pelbagai Misi (MMRC) yang baru dan terletak di Kem Pasir Laba itu akan dapat membantu askar pertempuran mempertingkat latihan kemahiran menembak mereka sehingga 60 peratus.
Ini kerana pusat latihan di kompleks tiga tingkat itu membolehkan lebih banyak askar mengasah kemahiran mereka dalam masa yang lebih singkat - 900 askar boleh menyelesaikan ujian menembak mereka dalam masa sehari di MMRC, berbanding dua atau tiga hari di padang luar sebelum ini.
Merasmikan pembukaan MMRC itu semalam - enam bulan setelah ia beroperasi - Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata kompleks itu satu titik penting bagi tentera dan satu wadah strategik bagi SAF mempertingkat kecekapan individu askar mereka.

Beliau menambah MMRC itu juga satu contoh bagaimana SAF menggunakan teknologi untuk mencapai matlamat dan misinya.
Kompleks yang merupakan pusat latihan kemahiran menembak yang pertama di dunia itu menempatkan tujuh padang menembak yang berlainan - dua padang 50 meter, dua padang 100 meter, dua padang berbilang peringkat dan sebuah padang operasi bandar.
Penataan cahaya khas di MMRC itu membolehkan simulasi kondisi menembak pada waktu siang dan malam, sekali gus membolehkan unit-unit tentera melakukan sesi menembak siang dan malam dalam masa beberapa jam sahaja.
Sebelum ini, unit yang selesai sesi menembak siang, perlu menunggu sehingga matahari terbenam sebelum boleh memulakan sesi menembak malam.
Prestasi menembak setiap askar juga dapat dijejak dengan cepat, membolehkan mereka menerima maklum balas segera.
Pada masa yang sama, askar boleh diletakkan di dalam senario di mana mereka mengasah naluri dan keupayaan mereka untuk menilai sama ada mereka sedang berdepan dengan rakan atau musuh mereka.
Sejauh ini, 22,000 askar telah menggunakan kemudahan di MMRC itu.