Wednesday, October 2, 2013

Debat Belanjawan: Rumah Putih tutup kedai...

WASHINGTON: Buat pertama kali dalam masa 17 tahun, sebahagian perkhidmatan pemerintah federal Amerika Syarikat, terpaksa dihentikan semalam sedang Kongres gagal mencapai persetujuan dalam perdebatan belanjawan yang hangat.
Perdebatan hangat itu berakhir tanpa persetujuan setelah anggota Kongres Republikan berdegil mahukan perubahan dalam undang-undang jagaan kesihatan sebagai ganti meluluskan dana bagi perbelanjaan asas federal, sesuatu yang tidak dapat diterima pihak Demokrat dan Presiden Amerika, Encik Barack Obama.
Hanya 10 minit sebelum tengah malam semalam (waktu tempatan), pejabat belanjawan Rumah Putih, mengeluarkan arahan agar kebanyakan jabatan pemerintah ditutup.
Tindakan itu bermakna 800,000 pekerja federal dipaksa mengambil cuti tanpa gaji dan banyak tempat tarikan pelancong seperti taman Patung Liberty, taman negara dan muzium terpaksa ditutup.
Harapan bagi huraian segera masih tidak jelas dan pakar ekonomi memberi amaran bahawa ekonomi Amerika yang lembap mungkin terjejas jika penutupan itu berlarutan lebih daripada beberapa hari.
Bermula semalam, hanya kakitangan federal yang dianggap kritikal, seperti kakitangan pos dan pengawal lalulintas udara, tetap meneruskan tugas mereka sementara jabatan pemerintah seperti Rumah Putih dikendalikan kakitangan asas sahaja.

Sedang Kongres menemui jalan buntu, Encik Obama berkata bahawa "penutupan itu mempunyai kesan ekonomi sebenar terhadap rakyat Amerika dengan segera".
Beliau menyalahkan pihak Republikan atas kebuntuan itu, yang menurut Encik Obama, cuba mengikat perbelanjaan pemerintah dengan tuntutan ideologi.
Katanya, pihak Republikan berbuat demikian "hanya kerana tidak mahu malu setelah membuat janji yang tidak mungkin dapat ditunaikan kepada anggota sayap kanan tegar dalam parti mereka".
Tuduhan Encik Obama itu dijawab Speaker Dewan Perwakilan, Encik John Boehner, tidak lama kemudian dalam dewan yang dikuasai pihak Republikan.
"Rakyat Amerika tidak mahu pemberhentian khidmat pemerintah dan saya juga demikian," katanya.
Namun, beliau menambah bahawa undang-undang jagaan kesihatan yang baru "mempunyai kesan hebat" dan sesuatu harus dilakukan.
Beberapa jam setelah khidmat pemerintah dihentikan, anggota Republikan Dewan Perwakilan melantik wakil untuk cuba berunding semula dengan anggota Dewan Senat, yang dikuasai pihak Demokrat, bagi melakarkan pelan belanjawan yang akan membolehkan pemerintah federal berfungsi semula.
Namun, jika pihak Republikan masih bertegas mahu mengubah undang-undang jagaan kesihatan yang digelar sesetengah pihak sebagai Obamacare, pihak Senat tidak akan mahu berunding, kata pembantu kepada Ketua Majoriti Dewan Senat, Encik Harry Reid.
Encik Obama yang berhadapan dengan pemberhentian khidmat pemerintah federal yang pertama sejak 1996, memberitahu askar Amerika melalui video bahawa mereka layak menerima layanan lebih baik daripada Kongres dan berjanji akan berusaha untuk memastikan pemerintah federal dapat berkhidmat semula tidak lama lagi. - AFP, AP.