Wednesday, October 16, 2013

Dua juta jemaah haji lengkap berpakaian ihram menuju ke Arafah

MINA: Sekitar dua juta jemaah haji lengkap berpakaian ihram dari 118 negara dan Arab Saudi berpusu-pusu berangkat ke lembah Arafah, khususnya dekat Gunung Arafah, sambil melaungkan talbiyah, Labbaik Allahumma Labbaik (kami penuhi dan kami laksanakan perintah-Mu ya Allah), dalam misi mencapai impian menunaikan haji, pagi semalam.
Lautan putih manusia itu berkumpul di lembah Arafah, kira-kira 10 kilometer dari Mina.
Para jemaah tersebut akan melaksanakan solat zuhur sebelum berdoa, sebagai menandakan kemuncak ibadah haji selama lima hari itu, lapor akhbar Saudi Gazette, semalam.
Pihak Pertahanan Awam Arab Saudi telah menyiapkan rancangan menyeluruh untuk memastikan keselamatan jemaah terpelihara pada Hari Arafah itu, menurut laporan akhbar tersebut.
Hari ini masyarakat Islam menyambut perayaan Aidiladha atau Hari Raya Korban.
Menurut agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA), pihak pertahanan awam Arab Saudi sudah menyiapkan peraturan yang diperlukan bagi menangani suasana kecemasan di tapak-tapak suci di negara itu melalui usaha bersepadu antara pasukan-pasukannya yang turun padang dan unit-unit kecemasan.

"Kami telah bersedia menangani apa jua suasana bahaya semasa di Arafat sehingga jemaah berangkat ke Muzdalifah selepas matahari terbenam," kata Pengarah Pertahanan Awam di Arafah, Brigedier-Jeneral (BG) Abdul Rahman Bin Hassan Al-Zahrani.
Pegawai itu meminta jemaah di Arafah supaya kekal berada dalam pekarangan khemah mereka dan berhatihati terhadap wayar elektrik yang terdedah.
Pasukan-pasukan peninjau pertahanan awam telah dikerah melakukan rondaan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji di sana.
BG Al-Zahrani berkata Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji Arab Saudi, Putera Muhammad Bin Naif, melarang jemaaah daripada menggunakan gas cecair untuk memasak dalam kawasan tanah suci dari 1 Zulhijah (6 Oktober) lalu hingga 13 Zulhijah atau Jumaat ini.
Sementara itu pengarah keselamatan di Arafah, Kolonel Ahmed Mohamed AlShahrani, berkata semua langkah pencegahan kebakaran di Arafat telah disiapkan.
"Jemaah boleh dipindahkan dengan selamat daripada khemah-khemah jika berlaku kebakaran atau suasana kecemasan lain," katanya.
Kolonel Al-Shahrani selanjutnya berkata peraturan khas bagi memastikan perjalanan melalui khidmat kereta api Mashair selamat dan licin juga telah disiapkan.
Ketibaan jemaah di Mina berjalan dengan licin dan selamat, menurut Mejar-Jeneral Mansour Al-Turki, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.