Wednesday, October 2, 2013

Israel gesa AS tingkat sekatan atas Iran

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah menggesa Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, supaya meningkatkan sekatan ke atas Iran jika ia meneruskan program nuklearnya.
Gesaan itu dibuat meskipun Teheran telah membuat satu pertemuan diplomatik dengan Washington dan menyatakan kesediaannya untuk memulakan semula rundingan dengan pihak Barat.
Dalam usahanya untuk menenteramkan Israel berikutan pertemuan diplomatik Amerika dengan Iran itu, Encik Obama berkata Teheran harus membuktikan kejujurannya dengan tindakan konkrit.
Beliau menegaskan bahawa Washington tidak akan melonggarkan sekatan sebelum masanya serta mengulangi lagi kesediaan Amerika untuk mengambil tindakan tentera jika semua itu gagal.
Encik Netanyahu membuat lawatan tiga hari ke Rumah Putih selepas Encik Obama dan Presiden baru Iran, Encik Hassan Rowhani, berbincang melalui telefon, dalam apa yang disifatkan sebagai perhubungan peringkat tertinggi antara Amerika dengan Iran sejak lebih tiga dekad lalu.
Perbualan telefon itu mencetuskan harapan bagi satu penyelesaian terhadap pertikaian berlarutan antara Barat dengan Iran mengenai program nuklear Teheran.

Tanda-tanda pemulihan hubungan antara Amerika dengan Iran itu membimbangkan Israel, yang menuduh Iran cuba melambat-lambatkan dan mengelak daripada sekatan ketat antarabangsa, sedang ia cuba membangunkan senjata nuklear.
Iran pula menafikan dakwaan bahawa ia sedang berusaha ke arah membangunkan senjata nuklear.
Encik Netanyahu, yang menurut para pembantunya cuba memberi amaran kepada Encik Obama secara peribadi, belum percaya dengan langkah berbaik-baik yang ditunjukkan oleh Encik Rowhani.
Beliau menunjukkan keberatan untuk menerima langkah Encik Obama membuat hubungan dengan Iran.
Bagaimanapun, beliau kelihatan meminta Teheran supaya menawarkan konsesi segera dengan menggantung projek-projek yang dikaitkan secara sensitif dengan program nuklearnya itu, jika tidak mahu menghadapi lebih banyak tekanan daripada masyarakat antarabangsa.
"Israel dengan tegas percaya bahawa jika Iran terus memajukan program nuklearnya semasa rundingan, sekatan-sekatan seharusnya diperketatkan," kata Encik Netanyahu dalam ucapannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Encik Obama berkata beliau mahu memulakan rundingan dengan Iran secara bijaksana dan bersedia menguji pendirian Encik Rowhani.
"Apa saja yang kami lakukan memerlukan piawaian pembuktian yang tertinggi sebelum kami bertindak untuk melonggarkan sekatan yang, saya fikir, sedang mereka cari itu," kata beliau.
Encik Obama, bagaimanapun, tidak menunjukkan sebarang persetujuan terhadap gesaan baru Encik Netanyahu itu jika Iran masih terus membangunkan senjata nuklearnya.
Sekatan antarabangsa yang sedang dihadapi Iran itu telah menjejas teruk ekonomi Iran, termasuk sektor minyaknya.
Meskipun Encik Netanyahu menggesa diadakan "ancaman tentera yang wajar" untuk memberi tekanan kepada Iran, Encik Obama menegaskan:
"Kami tidak akan menggugurkan sebarang pilihan (tindakan) atas meja rundingan, termasuk pilihan tindakan ketenteraan, bagi memastikan tidak ada senjata nuklear di Iran." - Reuters.