Wednesday, October 16, 2013

Jemaah haji selamat lontar jamrah

MINA: Jutaan jemaah haji telah bergerak ke Muzdalifah untuk mengutip batu, sebelum kembali ke Mina semalam untuk melontar jamrah dan menyembelih korban.
Gabenor Makkah, Putera Khaled al-Faisal, berkata tahun ini jemaah asing berjumlah sekitar 1.38 juta orang, manakala jemaah setempat berjumlah 117,000 orang.
Jumlah keseluruhan 1.5 juta jemaah itu adalah jauh lebih rendah berbanding 3.2 juta jemaah tahun lalu.
Riyadh telah mengenakan potongan kuota 20 peratus bagi jemaah luar negara dan mengurangkan sehingga separuh jumlah jemaah tempatan yang dibenarkan menunaikan haji tahun ini.
Pengurangan kuota itu dilakukan kerana kebimbangan berhubung virus Mers yang telah mengorbankan 51 jiwa di Arab Saudi dan kawasan ibadah yang berkurangan kerana kerja-kerja pembinaan di sekitar Masjidil Haram.
Putera Khaled berkata pihak berkuasa telah menghalang 70,000 jemaah setempat dan asing daripada mengerjakan haji tahun ini kerana tidak mempunyai permit yang sah.

Pihak berkuasa berkata sejauh ini tiada kes jangkitan Mers dilaporkan di kalangan para jemaah haji.
Kelmarin, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz al-Sheikh, dalam khutbah Haji di Padang Arafah menggesa penganut Islam agar mengelakkan pecah-belah, kekacauan dan amalan berpuak-puak.
"Negara anda ialah amanah anda. Anda harus melindungi keselamatannya, kemantapannya dan sumbernya. Anda harus tahu jika anda disasarkan oleh musuh anda...yang mahu menyebarkan kekacauan di kalangan anda..Sudah tiba masanya anda menangani masalah ini," seru beliau.
Sementara itu, ramai jemaah berkata mereka mendoakan keamanan di negara-negara Islam, yang sebahagiannya dicengkam keganasan dan pertikaian politik yang berlarutan.
"Saya akan berdoa setiap hari agar Tuhan memperbaiki keadaan bagi penganut Islam sedunia dan menghentikan pertikaian dan pertumpahan darah di negara-negara Arab," kata seorang jemaah dari Algeria, Encik Saeed Dherari, 60 tahun.
Seorang jemaah Mesir, Encik Ahmad Ali, pula berdoa agar negaranya kembali aman.
"Saya doa agar Mesir kembali menikmati keselamatan dan kemantapan dan agar rakyatnya mencapai penyatuan," kata beliau. - AFP.