Wednesday, October 23, 2013

Kematian 'Sultan Sulu' tak jejas tuntutan atas Sabah

MANILA: Kematian seorang tokoh Filipina yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, tidak akan menjejas kajian yang sedang dijalankan oleh pemerintah Filipina perihal tuntutan negara itu terhadap Sabah, menurut seorang jurucakap pemerintah Filipina, kelmarin.
"Ia seolah-olah mengandaikan bahawa tuntutan itu bergantung pada seseorang, ia bukan demikian, ertinya, kajian itu masih diteruskan," kata Timbalan Jurucakap Presiden Filipina, Cik Abigail Valte, dalam satu wawancara dengan sebuah stesen radio.
Beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada pemerintah Filipina masih mahu membuat tuntutannya terhadap Sabah menyusuli kematian Jamalul Kiram III.
Presiden Filipina, Encik Benigno Aquino III, pada Mac lalu telah mengarahkan pihak Jabatan Keadilan dan para peguamnya, antara lain, mengkaji tuntutan Filpina ke atas Sabah itu.

Encik Aquino mengeluarkan arahan itu selepas sepasukan penyokong Jamalul Kiram III yang bersenjata belayar dari Tawi-Tawi, sebuah wilayah pulau di selatan Filipina, ke Lahad Datu di Sabah pada Februari lalu menuntut wilayah di Malaysia Timur itu.
Seramai 10 kakitangan pasukan keselamatan dan puluhan lagi anggota kumpulan lelaki bersenjata itu terbunuh dalam satu pertempuran dengan pasukan polis dan tentera Malaysia di wilayah tersebut.
Cik Valte berkata istana presiden Malacanang telah menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga Jamalul Kiram III.
Jamalul Kiram III meninggal dunia akibat organnya gagal berfungsi, awal kelmarin, pada usianya yang mencecah 75 tahun. - Agensi.