Wednesday, October 9, 2013

Kenaikan kadar inflasi: 72 peratus warga Singapura akan mengurangkan makan di luar

72 peratus warga Singapura akan mengurangkan makan di luar
PARA pengguna di Singapura secara umum berkata mereka tidak begitu bimbang dengan kenaikan inflasi, dengan sebahagian besar - tujuh daripada setiap 10 orang atau 69 peratus - berkata belanjawan keluarga dapat menampung kenaikan dalam harga makanan.
Malah, mereka tidak perlu membuat pengorbanan besar dalam perbelanjaan bagi bidang-bidang lain, menurut laporan terbaru tinjauan Nielsen Global mengenai kesan inflasi terhadap pengguna.
Bagaimanapun, sementara majoriti warga Singapura tidak perlu mengurangkan perbelanjaan bagi menampung kenaikan harga makanan, ramai yang berkata mereka akan terus membuat perubahan dalam perbelanjaan.
Menurut tinjauan itu, majoriti rakyat Singapura atau 72 peratus akan mengurangkan makan di luar.
Sekitar 59 peratus pula akan mengurangkan perbelanjaan pakaian baru dan aksesori dan 49 peratus akan mengurangkan belanja makanan snek untuk mengatasi inflasi dalam harga makanan.
Lagi 45 peratus pula akan mengurangkan belanja bagi riadah dan hiburan.
Di peringkat global, separuh daripada 29,000 pengguna di 58 negara yang ditinjau menerusi dalam talian antara 18 Februari dan 8 Mac lalu pula berkata belanjawan keluarga terlalu terhad untuk menampung kenaikan dalam harga makanan jika mereka tidak mengurangkan perbelanjaan lain.

Tinjauan Nielsen tersebut adalah berdasarkan respons daripada soalan di Internet, dan hakikatnya kadar penggunaan Internet berbeza-beza mengikut negara.
Pengarah Eksekutif Amalan Keberkesanan Pemasaran Nielsen, Asia Tenggara, Asia Utara dan Pasifik, Encik Matthew Krepsik, berkata hasil kajian itu penting bagi syarikat-syarikat, terutama yang menjual barangan pengguna.
"Ia akan menjadi semakin penting bagi syarikat-syarikat itu memahami kepelbagaian permintaan pengguna di seluruh rantau ini, mengenal pasti kuasa membeli dan skala barangan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pengguna dalam negara maju dan yang sedang membangun di Asia Tenggara,'' ujarnya.