Tuesday, October 1, 2013

Kren tumbang ragut nyawa dua pekerja

SEKURANG-kurangnya dua pekerja binaan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera setelah sebuah menara kren tumbang di tapak binaan di Galeri Seni Nasional di Coleman Street, Singapura pagi semalam.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kededua pekerja tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, sementara dua lagi dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH). Seorang lagi mendapatkan rawatan di Hospital Raffles berdekatan stesen MRT Bugis.
Dipercayai kepingan konkrit di bahagian belakang menara kren yang digunakan sebagai pengimbang terjatuh pada 10.32 pagi semalam.
Ini menyebabkan kren tersebut terjatuh di atas perancah.
SCDF berkata, seorang pekerja yang meninggal dunia itu terperangkap di tingkat lima di kawasan perancah.
Salah seorang daripada mangsa yang maut merupakan warga Thailand.
Kontraktor utama dalam projek itu ialah syarikat Takenaka-Singapore Piling Joint Venture.