Tuesday, October 8, 2013

Laporan Audit dedahkan bukti rompakan terancang oleh Umno BN

Laporan Audit dedahkan bukti rompakan terancang oleh Umno BN
Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan pembaziran, pemborosan serta pelbagai penyelewengan bukti kegagalan pemimpin dan Kerajaan BN yang memimpin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh pada 5 Oktober lalu.
Tegasnya, Laporan Audit tahun 2009, 2010, 2011 dan 2012 tidak banyak berbeza. Wujud kebocoran dan ketirisan berterusan yang membuktikan kegagalan kerajaan mengatasi masalah penyelewengan tersebut.
“Setiap tahun laporan demi laporan yang didedahkan, keadaan semakin parah. Ini bukti rompakan terancang kerana mencuri dengan cara senyap dan tersembunyi.
“Sebanyak 67.61 juta wang rakyat bagi Sambutan Hari Belia Negara tahun 2012, pembaziran yang amat besar. Bayaran kepada artis K-Pop oleh Kementerian Belia dan Sukan sahaja RM1.6 juta.
“Wang ini boleh digunakan untuk pelajar-pelajar IPT membiayai pembelajaran mereka tanpa dibebankan hutang PTPTN,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengajak umat Islam agar senantiasa menjadikan al Quran sebagai rujukan dalam apa jua aspek kehidupan maupun pentadbiran.
Kegagalan menghayati tuntutan agama yang sebenar, katanya, akan menyebabkan banyak penyelewengan dan pemborosan berlaku sehingga rakyat menjadi mangsa melalui kenaikan harga barangan yang melampau.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, bekas Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan kepimpinan masyarakat tempatan.